MELAKA TENGAH - Polis hari ini menahan seorang pegawai Jabatan Imigresen Melaka yang disyaki merogol seorang tahanan wanita warga Thailand di dalam Depoh Tahanan Imigresen, Machap Umboo, Alor Gajah, dua minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hassan berkata, suspek lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di pejabat jabatan berkenaan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
"Polis akan memohon perintah reman daripada mahkamah hari ini untuk menjalankan siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
"Kita akan siasat juga dakwaan persetubuhan luar tabii berdasarkan laporan doktor yang membuat pemeriksaan terhadap mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-210 peringkat kontinjen di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang wanita Thailand mendakwa kakaknya dirogol seorang anggota Imigresen ketika proses rakaman percakapan di depoh berkenaan, 9 Mac lalu.
Wanita berusia 29 tahun yang turut ditahan di depoh sama membuat laporan polis mengenainya di Balai Polis Melaka Tengah, selepas dibebaskan.
Jabatan Imigresen yang turut menjalankan siasatan sudah memanggil pegawai berkenaan dan akan mengenakan tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) Pindaan 2002 jika terbukti penjawat awam itu melanggar peraturan.