Beliau ketika dihubungi Sinar Harian berkata, inisiatif itu dilakukan untuk melihat dengan lebih dekat isu serta masalah diadu dan dihadapi masyarakat setempat.
Menurutnya, beliau tidak menyangka empat keping foto beliau menunggang basikal seorang diri melalui jalan raya dan lorong belakang premis komersil dirakam tanpa disedarinya.
Foto-foto tersebut turut menjadi tular dan menerima reaksi positif serta perkongsian netizen.
Nor Hisham berkata, rutin itu dimulakan sejak awal tahun lalu.
Katanya, beliau bukan tidak mahu menaiki kereta namun menunggang basikal membolehkannya terus ke tempat dituju yang tidak boleh dilalui kenderaan.
“Saya memang dah biasa kayuh basikal Sabtu dan Ahad sambil meninjau mana-mana kawasan bermasalah serta sering terima aduan.
"Pagi tadi saya ambil keputusan meronda di USJ 11, USJ 13 dan USJ 9 untuk lihat kutipan sampah di situ.
“Dalam masa sejam meronda, saya jumpa tempat pembiakan tikus di belakang lorong premis komersil dan berjaya ‘cekup’ pekerja kontraktor kutipan sampah yang buat kerja tak sempurna,” katanya perkara itu akan dipanjangkan kepada jabatan berkenaan.
Tambah Nor Hisham lagi, kakitangannya tidak tahu ke mana beliau pergi ketika menyorong basikal dari pejabatnya di Ibu Pejabat MPSJ, di USJ 5, di sini.
“Bila ada kakitangan MPSJ nampak saya tolak basikal dan tanya nak ke mana, saya akan jawab nak pergi jalan-jalan cari makan.
“Kalau tempat tu jauh, biasanya saya letak basikal lipat dalam kereta, naik kenderaan dan meronda dengan basikal bila sampai lokasi," katanya lagi.
Sebelum itu, gambar beliau memakai baju kemeja bercorak kotak, bertopi, berseluar ‘slack’ dan memakai kasut mengayuh basikal di kawasan premis komersil di sekitar USJ di sini dirakam orang ramai.
Gambar yang turut menunjukkan Nor Hisham mengayuh basikal di lorong belakang premis itu tular sejak pagi tadi.
No comments:
Post a Comment