MENERUSI video yang tular di media sosial, ia seperti menonton babak dalam filem Laksamana Do Re Mi arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, yang menggunakan bakul berisi sayur untuk dibawa ke rumah papan tiga ‘bujang lapok’.
Video berdurasi 28 saat itu menunjukkan beg biru diikat pada tali diturunkan dari tingkat empat pangsapuri sebelum bungkusan plastik di dalam beg itu diambil seorang lelaki.
“Ibu saya suri rumah sepenuh masa, jaga enam anak kawan-kawan dia. Bila ada masa, ibu jual cheezy wedges dan macaroni cheese.
“Tapi lain macam sikit ibu punya penghantaran. Pembeli tak perlu naik atas tingkat empat sebab kita boleh ‘drive thru’ (pandu lalu) macam ni! Doakan semoga ibu selalu murah rezeki ya,” tulis seorang anak di akaun Twitter, dan diulang kicau lebih 24,000 kali.
Perkongsian seorang anak di Twitter mengenai kaedah penghantaran makanan oleh ibunya.
Ibu berusia 52 tahun itu, Mas Hayati Mohammed Ali berkata, dia mula berniaga makanan secara kecil-kecilan dari rumahnya, pangsapuri empat tingkat di Batu Caves, Selangor, sejak empat tahun lalu.
Lebih mesra dengan panggilan Cik Mas, ibu dua anak ini turut menjadi pengasuh kepada beberapa anak kenalan dan jiran yang menetap di kawasan perumahan itu.
“Saya siapkan dulu semua anak-anak ini, bagi mereka mandi dan makan serta bersiap ke sekolah. Bagi yang tidak bersekolah, saya tidurkan mereka dulu.
“Hanya bila ada masa lapang dan dapat tempahan pelanggan, baru saya masak beberapa makanan berasaskan keju,” katanya kepada mStar Online.
Beg guna semula untuk membawa turun makanan yang ditempah pelanggan.
Terkejut dengan video yang dirakamkan anak perempuannya berusia 22 tahun menjadi tular, Cik Mas berkata, pandu lalu yang dimasukkan adalah membawa turun makanan yang dipesan pelanggan dari rumahnya di tingkat 4 ke aras bawah.
“Kat sini ada lapan blok dan rumah saya pula di tingkat paling atas. Bila anak-anak dah mula bekerja, sayalah seorang yang turun naik ke sana sini buat penghantaran.
“Saya tidak bernasib baik bila terjatuh tangga masa hantar makanan kepada pelanggan di blok lain, dua tahun lalu. Kecederaan tidak begitu serius tapi sakitlah juga, sampai saya perlu berehat,” ujarnya yang agak trauma akibat kejadian itu.
Cik Mas berniaga secara kecil-kecilan mengikut tempahan. Foto ihsan Mas Hayati Mohammed Ali
Dia kemudian membuat pengumuman di dalam grup sembang WhatsApp penduduk setempat mengenai tiada lagi penghantaran dibuat dan pelanggan perlu mengambil makanan itu di rumahnya.
Pada masa sama, pelanggan Cik Mas mulai mengeluh apabila mereka terpaksa mengambil tempahan di rumahnya di tingkat paling atas, tanpa kemudahan lif.
“Saya kemudian teringat kaedah yang digunakan untuk anak-anak yang saya jaga bila mereka tertinggal barang di rumah seperti botol air, buku dan baju. Kalau masing-masing naik turun, sudah tentu penat kan.
“Saya gunakan tali rafia yang panjang diikat pada plastik untuk isi barang yang diberi kepada mereka, sebelum diturunkan perlahan-lahan,” katanya.
Makanan berasaskan keju mendapat permintaan tinggi.
Menerusi kaedah sama, Cik Mas menggunakan tali yang lebih kuat dan beg guna semula yang lebih tahan untuk membawa turun makanan dipesan, termasuk membawa naik duit daripada pelanggan.
“Ni macam pandu lalu. Tapi pakai tali ni dah kira ‘tali thru’. Sebelum ni, saya bawa turun makanan dulu, tapi bila dah tular ni semakin banyak permintaan, jadi mungkin saya fikir duit dulu naik, baru makanan dibawa turun,” katanya secara berseloroh.
No comments:
Post a Comment