MEMPUNYAI dua kerja dalam satu masa bukan lagi sesuatu yang luar biasa terutama bagi golongan berpendapatan rendah.
Realiti kehidupan masa kini dengan kos sara hidup yang tinggi memaksa mereka melakukan lebih daripada satu kerja. Tetapi lain pula kisahnya dengan seorang pemuda yang kisahnya sebagai pencinta haiwan ini tular.
Bukan semata-mata mencari sesuap nasi untuk dirinya sahaja, tetapi dia melakukan dua kerja; sebagai pekerja pembersihan sepenuh masa dan penjaga parkir demi memberi makanan kepada kucing dan anjing jalanan.
Ann memberi makanan kepada kucing dan anjing menggunakan upahnya menjaga parkir kereta.
Anfalazie Anuar, 30, berkata, dia sudah memberi makanan kepada kucing dan anjing liar selama lebih 10 tahun, tetapi memasuki tahun keenam dia melakukannya secara serius.
Lebih mesra dengan panggilan Ann, pemuda yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang ini turut membela 10 ekor kucing di rumah keluarganya di Bukit Mertajam.
"Saya memang sayang dengan haiwan. Ibu didik saya untuk menyayangi segala macam jenis binatang dan jangan sesekali mengasarinya.
"Bukan setakat kucing dan anjing saja kena sayang. Dulu pernah ada ular masuk ke rumah kami, tapi saya tak bunuhnya tetapi bawa ia keluar dan lepaskan," katanya kepada mStar.
mStar sebelum ini melaporkan mengenai pemuda yang memberi makanan kepada kucing dan anjing jalanan selepas ia dikongsi oleh Azman Ali menerusi halaman Facebooknya.
Azman (kanan) berkongsi kisah mengenai Ann di halaman Facebooknya.
Ann berkata, dia memperoleh gaji sebagai pekerja pembersihan sebanyak RM850 sebulan, manakala upah RM30 sehari menjaga parkir kereta selama dua minggu setiap bulan.
Tiap-tiap hari saya akan datang beri makan kepada haiwan-haiwan ni walau demam sekalipun. Kalau tak, saya sendiri yang akan rasa lebih sakit dan serba-salah sebab tak bagi mereka makan.ANFALAZIE ANUAR
Anak sulung daripada tiga beradik ini memberitahu, kos makanan berupa ikan dan ayam untuk kucing dan anjing yang dibeli di pasar berdekatan pula adalah kira-kira RM50 sehari.
"Upah RM30 sehari yang saya dapat jaga parkir kereta hanya untuk beli makanan buat kucing dan anjing. Jika hendak diikutkan, upah yang dapat tu memang tak cukup.
"Apa yang saya buat adalah saya bayar dulu guna duit yang ada, bakinya saya hutang dengan peniaga di pasar. Bila dapat gaji tetap bulanan, baru saya jelaskan baki hutang tu," katanya sambil menambah perbelanjaan makanan kucing dan anjing turut dibantu oleh adik-adiknya.
Makanan berupa ikan dan ayam untuk kucing dan anjing jalanan dibeli di pasar berdekatan.
Siapa sangka dengan gaji yang tidak sebesar mana, pemuda yang hanya belajar setakat tingkatan tiga ini hidup serba sederhana bersama ibu dan tiga beradik.
"Saya bersyukur dengan rezeki yang ada, cukuplah nak bernafas untuk makan dan minum bersama keluarga termasuk memberi makanan kepada kucing dan anjing.
"Pasal makan memang tak berbelanja mewah, kalau dapat makan nasi kosong berserta telur goreng cicah dengan kicap pun dah cukup.
"Kadang-kadang ada rezeki lebih bila adik yang kerja di restoran bawa balik baki makanan berlauk yang tak habis dijual. Kalau ada kuah gulai, makan dengan telur goreng," ujarnya.
Rezeki yang diterima Ann dikongsikan bersama kucing dan anjing jalanan.
Dalam pada itu, Ann menjelaskan bahawa motosikal yang digunakannya ketika ini dipinjam daripada adiknya berikutan motosikalnya mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki.
"Dapat pinjam motor adik pun dah OK. Kalau nak pakai motor sendiri kena ada duit untuk baiki. Lebih baik saya gunakan duit tu untuk beli makanan buat kucing dan anjing.
"Tiap-tiap hari saya akan datang beri makan kepada haiwan-haiwan ni walau demam sekalipun. Kalau tak, saya sendiri yang akan rasa lebih sakit dan serba-salah sebab tak bagi mereka makan," katanya.
No comments:
Post a Comment