Makan mewah bersama orang kaya, pelik kenapa masa bayar tuan kedai tetap belanja? - “Orang miskin order sirap sebungkus pun kena bayar”
RAMAI rakyat Malaysia terkenal dengan sifat pemurah dan keprihatinan mereka banyak juga dikongsikan di media sosial.
Jika ada individu atau keluarga dalam kesusahan atau mengalami masalah kewangan, pasti ada yang ringan tangan untuk menghulurkan bantuan.
Belanja orang lain juga merupakan satu bentuk perkongsian rezeki, tanpa mengira siapa pun mereka, sama ada miskin atau kaya-raya.
Seorang pendidik berkongsi pengalamannya sewaktu mengajar di Pekan, Pahang kira-kira 13 tahun lalu dan ketika mengadakan pertemuan dengan guru-guru senior.
"Suatu hari 'abang-abang' dari Kelantan turun Kuantan. Aku pun pergi jumpa di Kuantan dan kami bergerak bersama. Mereka nak jumpa orang kaya kat sana.
"Kami janji di sebuah kedai makan Siam. Sebaik jumpa, mewah makanan yang dipesan. Maklumlah, makan dengan orang kaya kot," tulis Mohd Fadli Salleh di halaman Facebooknya.
Bil makanan tidak perlu dibayar, sebaliknya ditanggung oleh tauke restoran. Foto Facebook Mohd Fadli Salleh
Mohd Fadli berkata, bil makanan mewah yang dinikmati mereka bersama orang kaya itu bagaimanapun tidak perlu dibayar, sebaliknya ditanggung oleh pemilik restoran.
"Usai makan dan berborak, tiba masa untuk bayar. Panggil tauke restoran untuk kira, tuan kedai belanja sebab dia kenal orang kaya tu," tambahnya.
Bersama kumpulan seniornya, Mohd Fadli berkata, mereka kemudian beredar dari restoran, diikuti orang kaya tersebut yang beransur pergi secara berasingan.
"Sampai dalam kereta, salah seorang 'abang' ini berkata, 'Bila terlalu kaya ni, duit pun orang tak nak ambil rupanya'.
"Masa tu terus aku terfikir, kenapalah tuan kedai tak nak ambil duit dengan orang kaya. Patutnya belanjalah orang miskin, orang kaya terima bayaran.
"Ni orang miskin order air sirap sebungkus pun dia kenakan bayaran, orang kaya makan sampai beratus jumlah tak nak ambik duit pula," soalnya.
Perkongsian pengalaman Mohd Fadli di laman sosial.
Namun, lama-kelamaan guru berkenaan mulai faham situasi yang dilaluinya itu berdasarkan pemerhatian terhadap rakan-rakannya sendiri yang berstatus 'kaya'.
"Mereka tak pernah kedekut untuk bersedekah dan membantu orang. Orang yang pemurah ni, rezeki mereka juga pasti murah.
"Bahkan ada kemungkinan kejayaan tuan kedai itu, jasa pertolongan orang kaya tersebut. Orang akan ingat, orang akan sentiasa kenang budi dan jasa," katanya.
Soal tidak ambil bayaran orang kaya bukan kerana dia kaya. Aku percaya kerana ada budi yang pernah ditinggalkan.
MOHD FADLI SALLEH
Tambahnya, maka tidak hairanlah sekiranya apabila rakan yang kaya itu datang makan, pemilik restoran tidak berkira demi membalas budi.
"Orang pernah berbudi pada diri, atau mungkin kawan-kawan baik kita, atau sanak saudara kita, atau orang sekeliling kita. Pasti kita pun rasa nak berbuat baik pada mereka kan?
"Soalnya bukan pada wang. Soal tidak ambil bayaran orang kaya bukan kerana dia kaya. Aku percaya kerana ada budi yang pernah ditinggalkan," ujarnya.
Mohd Fadli berkongsi kisah mengenai seseorang berbuat kebaikan kepada sesiapa sahaja. Foto Facebook Mohd Fadli Salleh
Menurut Mohd Fadli, dia percaya seseorang itu disegani kerana kebaikannya dan menjadi contoh untuk diamalkan kepada sesiapa sahaja tanpa mengharapkan balasan.
“Berbuat baiklah pada sesiapa sahaja. Nescaya Tuhan kirim orang lain untuk membalas kebaikan kita. Kadang-kadang seseorang yang kita tak pernah kenal dan mesra pun.
"Begitu aturan kehidupan dan dunia. Teruslah berbuat kebaikan bukan untuk mengharap balasan orang tetapi kerana itu disaran agama dan disukai Tuhan. Pasti akan ada ganjaran di dunia lagi dan di akhirat kelak. Percayalah!" katanya.
MSTAR
No comments:
Post a Comment