Mahiaddin Md Yassin... Berkuat kuasa serta merta dokumen rasmi wajib guna nama sebenar PM
KAKITANGAN di Pejabat Perdana Menteri telah diarahkan untuk menggunakan nama sebenar Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam semua dokumen formal atau rasmi.
Surat edaran bertarikh 3 Jun itu mengarahkan supaya surat dan dokumen rasmi yang memerlukan tandatangan Perdana Menteri haruslah menggunakan ejaan rasmi namanya, iaitu dengan ejaan "Mahiaddin Bin Md Yassin" atau "Tan Sri Dato Seri Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yassin".
Surat pekeliling tersebut ditandatangani Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohammad dan arahan itu berkuat kuasa serta-merta.
Difahamkan, arahan ini dikeluarkan setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara.
Mahiaddin adalah nama yang diberi kepada perdana menteri tersebut namun dia lebih dikenali sebagai Muhyiddin.
Pada bulan April, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan seorang lelaki setelah memutuskan bahawa perintah penahanan yang ditandatangani oleh Perdana Menteri itu tidak sah, kerana itu bukanlah nama sebenarnya.
Lelaki itu sepatutnya ditahan selama dua tahun di pusat pemulihan Simpang Renggam, Johor.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa menteri-menteri yang menjalankan fungsi rasmi mestilah menggunakan nama seperti yang dinyatakan dalam MyKad dan Warta Kerajaan Persekutuan. Mstar
No comments:
Post a Comment