Gara-gara tayang ‘bicep’, video ‘buang sampah’ raih lebih 320,000 tontonan di TikTok... pemuda Kluang perjelas simbolik di sebaliknya, bagai jatuh ditimpa tangga
TULARNYA lain macam, satu video yang menunjukkan seorang pemuda membuang sampah menjadi perhatian sehingga meraih lebih 320,000 tontonan dan lebih 38,000 tanda suka di aplikasi TikTok!
Dalam video berkenaan, pemuda tersebut merakamkan dirinya sedang membuang plastik hitam, sambil menunjukkan otot lengannya (bicep).
"Sebenarnya nak belanja bicep."
"Aku tak nampak sampah dah."
"Kalau macam ni, aku pun sanggup jadi sampah."
"Buang sampah pun dapat like banyak," demikian antara komen netizen.
Akmal melakukan senaman dan latihan kecergasan.
Pemuda berkenaan, Muhammad Akmal Azahar mengakui sedang membuang sampah di rumahnya ketika rakaman tersebut dibuat.
Anak muda berusia 20 tahun itu memberitahu, dia baru saja selesai melakukan senaman yang melibatkan otot lengannya.
"Masa tu saya baru lepas workout, jadi muscles (otot) saya tengah kembang. Bila angkat plastik hitam untuk buang dalam tong sampah, memang nampaklah muscles tu.
"Saya bukan sengaja nak tayang bicep. Tapi sebenarnya nak beri motivasi kepada followers untuk kekal sihat dan fit," katanya kepada mStar.
Ketika menjadi jurugambar sambilan.
Selain motivasi untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan, Akmal berkata, terdapat maksud tersirat di sebalik rakaman video tersebut.
"Ia seperti satu simbolik yang saya 'membuang' segala kebencian dan kekecewaan sejak akhir-akhir ini.
"Macam-macam perkara yang terjadi pada diri saya. Dan membuang sampah itu ibarat saya melepaskan perasaan untuk lebih tenang," ujarnya yang berasal dari Kluang, Johor.
Akmal pernah menawarkan khidmat urut.
Dalam pada itu, anak bongsu daripada lima beradik itu turut meluahkan dirinya terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
"Sebelum ini saya kerja part time di sebuah kedai ais krim selama tiga bulan, tapi khidmat saya tidak disambung kerana mereka hanya mahu pekerja tetap bertugas semasa PKP.
Saya mahu 'membuang' segala kebencian dan kekecewaan saya sejak akhir-akhir ini. Membuang sampah itu ibarat saya melepaskan perasaan untuk lebih tenang
AKMAL
"Nak jadi personal trainer (jurulatih peribadi) pun tak boleh sebab gim tutup semasa PKP. Sebelum ni ada buat pembelian komputer secara dalam talian, untuk saya kaji dan buat plan senaman tapi kena tipu dengan penjual," katanya sambil menambah dia mengalami kerugian kira-kira RM1,200.
Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu juga berkongsi pengalaman buruk semasa mencari pendapatan sampingan dengan menawarkan khidmat urut, namun terpaksa melupakan hasrat itu apabila kebanyakan pelanggan 'songsang'nya cuba mengambil kesempatan.
Membantu rakan menjual popiah basah.
Selain itu, Akmal yang bersenam secara serius di gim selama tiga tahun pernah menjadi jurugambar sambilan, namun tidak memperoleh untung yang banyak.
"Kamera saya sebelum ini dah rosak. Sekarang ni kalau ambil job fotografi, saya kena sewa kamera.
"Jadi tak untung banyak sebab upah dah kena potong banyak bayar caj sewa," tambahnya.
Menurut pemuda itu, dia kini membantu rakannya yang mengusahakan gerai menjual popiah basah di Kluang.
"Saya yang gulung dan goreng popiah. Alhamdulillah dapat upah sementara tunggu keputusan STPM," katanya yang merancang untuk menyambung pengajian di universiti dalam bidang fotografi.
Tkasih Mstar