Bra digantung bersepah di sekitar kampung
- Oleh KOSMO
- JAKARTA – Penduduk Perumahan Sumber Mukti Indah, Kabupaten Rembang di Jawa Tengah dikejutkan dengan kejadian aneh apabila pakaian dalam wanita berupa bra diletak merata-rata di sekitar kawasan kediaman mereka.
Menurut laporan portal Solopos.com, insiden pada hujung minggu lalu itu sangat menjengkelkan kerana coli-coli ditemui di lokasi terbuka seperti tiang gol di padang bola, gelanggang badminton awam dan depan rumah penduduk dan juga kawasan menjemur kain terbuka.
Menurut Ketua Perumahan, Ramin, penduduk tidak pernah menjemur pakaian dalam mereka sama ada wanita atau lelaki di kawasan jemuran awam sebaliknya menjemurnya di dalam rumah atas dasar privasi.
Namun, kejadian bra yang ditinggalkan bersepah itu menimbulkan tanda tanya sama ada ia adalah gurauan remaja nakal atau perbuatan orang kurang waras.
“Penduduk setempat belum ada membuat laporan tentang kehilangan pakaian dalam setakat ini. Jadi, kami semua berasa hairan dengan kejadian ini,” ujar Ramin.
Sementara itu, petugas kawalan keselamatan daerah sudah hadir ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat berkenaan kejadian dan akan meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bagi menjejak pelaku perbuatan tidak bermoral itu. – Agensi