Gadis nyaris bawa ATV ‘membelah’ lautan, kawan cuak terus lompat turun - “Rupa-rupanya dia tak pernah tunggang motosikal pun”
KEGEMBIRAAN enam sekawan untuk beriadah pada hari cuti bertukar menjadi detik lucu yang tidak akan dilupakan sehingga bila-bila.
Semuanya gara-gara salah seorang daripada mereka hampir sahaja memandu kenderaan jenis ATV masuk ke dalam laut kerana 'terlebih yakin' walaupun tidak mempunyai pengalaman sebelum ini.
"Aku sendiri tak tahu kenapa dia boleh bawa masuk laut. Aku tak boleh fikir," demikian tulis kapsyen pada video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.
Menerusi video pendek berdurasi kurang daripada 10 saat itu, kelihatan ATV yang dipandu seorang wanita 'terbabas' sehingga memasuki gigi air di pantai dan lebih melucukan, tayar kenderaan tersebut terjerlus di dalam pasir.
Sehingga kini video berkenaan meraih sehingga 1.1 juta jumlah tontonan.
Berkongsi cerita dengan mStar, Umiey Borhan yang memuat naik video berkenaan berkata kejadian lucu itu dirakam ketika dia bersama lima rakannya sedang beriadah di Pantai Pak Amat, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat lalu.
"Kami semua saja nak habiskan hujung minggu beraktiviti bersama-sama. Saya ajak kawan-kawan cuba sewa ATV sebab dekat situ memang kadarnya sangat murah... kira-kira RM20 untuk dua jam. Route pun cantik kerana laluan pantai.
"Dari tempat sewaan ATV nak ke pantai, kami kena lalu jalan raya biasa dulu. Masa tu saya yang pandu dan kawan saya ni membonceng.
"Tapi bila sampai dekat pantai, saya tukar dengan kawan saya sebab dah lenguh. Dia pun tanpa banyak cakap, terus ambil seat depan dan saya membonceng.
Umiey (tengah, depan) bersama lima rakanya ketika beriadah menaiki ATV di Pantai Pak Amat, Kota Bharu, baru-baru ini.
"Entah macam mana, ATV yang dipandunya itu makin lama makin ke tepi menghampiri gigi air di pantai seperti nak masuk laut pula. Tiba-tiba saya rasa kedudukan saya makin rendah... rupa-rupanya tayar belakang dah tertimbus dek pasir basah. Cepat-cepat saya melompat turun," cerita wanita berusia 24 tahun ini sambil ketawa.
Tambah Umiey, walaupun situasi berkenaan lucu, namun ia bertukar panik apabila rakan-rakan yang lain dan seorang jurupandu yang mengikuti mereka tidak menyedari apa yang berlaku kerana sudah agak ke hadapan.
"Puas kami berdua menjerit-jerit panggil mereka patah balik. Sudahlah ketika itu tiada orang awam yang beriadah dekat kawasan ATV kami tenggelam tu.
Tiba-tiba saya rasa kedudukan saya makin rendah... rupa-rupanya tayar belakang dah tertimbus dek pasir basah. Cepat-cepat saya melompat turun.
UMIEY BORHAN
"Mujurlah abang jurupandu tu pandang belakang dan nampak kami berdua susah payah cuba tolak dan keluarkan tayar daripada pasir yang mendap.
"Dia cepat-cepat bergegas patah balik dan bantu keluarkan ATV kami. Tapi entah macam mana masa abang tu tengah nak tolak, kawan saya ni pergi letak pula tangannya dekat pelantar belakang ATV tu dan menyebabkan tangannya tersepit.
"Kawan saya sempat berseloroh 'abang kalau iya pun marah, janganlah macam ni'. Alhamdulillah ATV berjaya dikeluarkan oleh abang tu dibantu enam wanita.... hampir 30 minit jugalah!" ujarnya lagi.
Namun menurut anak jati Kota Bharu ini lagi, insiden berkenaan sama sekali tidak membuatkan mereka serik untuk memandu ATV.
Selepas ATV terbabas, tangan rakan Umiey (kiri) tersepit ketika membantu menaikkan kenderaan itu ke daratan.
"Minggu depan, kami bercadang nak sewa lagi ATV. Kawan saya yang pandu sampai terbabas tu pun tak serik... dia kata nak join lagi sebab nak belajar.
"Katanya, ATV tu terbabas sebab pemegangnya keras dan dia pula tak pernah ada pengalaman bawa ATV ataupun motosikal sebelum ini. Memang kami semua 'membahan' dia sebab terlebih confident masa tu.
"Saya tak sangka pula video tu viral... saya suka-suka saja post sebagai content di TikTok sebab ia video lucu. Tak sangka sampai lebih sejuta pula yang tonton. Apapun terima kasih kepada mereka yang menonton dan terhibur dengan video kami," katanya lagi.