JAKARTA – Kisah percintaan seorang wanita yang putus setelah tujuh tahun mendapat perhatian netizen di media sosial, lapor laman berita Suara.com semalam.
Kisah itu diceritakan menerusi klip video di akaun TikTok miliknya bernama @/dheetar.
Dia mengaku telah membeli sebuah rumah bersama kekasihnya dan merancang untuk berkahwin pada Disember 2021 setelah rumah itu siap dibina.
Teman lelakinya ingin berkahwin cepat, namun dia menangguhkan perkahwinan mereka selama tiga bulan.
Perbezaan pendapat berkenaan tarikh perkahwinan itu menyebabkan mereka memutuskan hubungan.
“Saya harap awak dapat yang lebih baik dari saya yang mungkin menepati jangkaan awak. Dan mungkin saya akan menyepi untuk masa yang lama kerana hubungan 7 tahun itu mengambil masa yang lama untuk dilupakan,’’ tulisnya.
Rakaman itu mendapat pelbagai komen netizen.
“Cuma cadangan, kalau masih ada cita-cita, jangan berpacaran, capai dulu semua cita-cita, selepas semua tercapai, barulah cari pasangan,” tulis seorang netizen.