JAKARTA – Gara-gara tidak dapat menerima kenyataan kekasihnya ingin memutuskan hubungan, seorang lelaki di Indonesia membelasah teman wanitanya di sebuah pawagam dan tidak menghiraukan orang ramai yang cuba menenangkannya, lapor laman berita Dream.co.
Berdasarkan klip video yang tular di media sosial, kejadian itu dikatakan berlaku di pawagam sebuah pusat beli-belah di Pekanbaru, wilayah Riau.
Video berdurasi seminit itu memaparkan beberapa pengawal keselamatan berusaha menahan lelaki berkenaan kerana menimbulkan kekecohan.
Dia sebelum itu dilihat menarik kepala seorang wanita yang dipercayai teman wanitanya.
Menurut laporan, lelaki berkenaan berang kerana tidak dapat menerima kenyataan bahawa teman wanitanya meminta untuk memutuskan hubungan sebelum mengamuk dan membelasahnya.
Dia juga meminta wanita tersebut mengembalikan semua hadiah yang pernah diberikan selama mereka saling mengenali.
Meskipun dileraikan oleh pengawal keselamatan, lelaki berkenaan masih tidak berpuas hati dan cuba menarik teman wanitanya ke arahnya.
Tindakan itu mendatangkan kecederaan pada lengan mangsa sebelum lelaki itu bertindak melampaui batas dengan cuba menendangnya.
Perbuatannya itu bagaimanapun berjaya dihalang oleh seorang pengawal keselamatan sebelum teman wanitanya beredar dari kawasan itu.
Video tersebut menjadi tular dengan netizen memberikan pelbagai komen.
“Mujur gadis itu terselamat (daripada lelaki kaki pukul) sebelum sempat berkahwin,” kata seorang netizen.
“Pasti sudah banyak wang dibelanjakan ke atas teman wanitanya,” kata seorang lagi pengguna media sosial. – Agensi
No comments:
Post a Comment