Cinta sejati! Pengantin datang naik ambulans, bersanding pula atas stretcher... Jurufoto ini rakam momen paling rare dalam karier
REZEKI tak pernah salah alamat.
Begitulah kisah melibatkan graduan kejuruteraan mekanikal apabila dia kini menempa nama dalam bidang yang berbeza daripada pengajian diplomanya.
Meskipun bermula dengan minat, fotografi berjaya menjadi kerjaya dan punca pendapatan tetapnya masa kini.
Menceritakan permulaan karier kepada mStar, lelaki berusia 30 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Qer berkata, dia ingin menjadi jurugambar kerana boleh meluangkan banyak masa untuk melakukan aktiviti lain.
Tambahan pula, dia pernah bekerja dalam bidang kejuruteraan mekanikal selepas graduasi.
"Dulu dah pernah kerja dalam bidang yang dipelajari tapi dengan kerjaya sebagai jurugambar perkahwinan, saya rasa macam ada lebih banyak masa untuk digunakan," ujarnya yang mula berjinak dengan dunia fotografi sejak belajar diploma.
Menurut anak jati Alor Setar, Kedah itu lagi, dia sudah berpengalaman lebih tujuh tahun dalam bidang yang diceburi.
Malah katanya, sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah mengikuti sebarang kelas atau kursus fotografi sebaliknya menjadikan platform media sosial sebagai rujukan.
Bercerita lanjut, Qer turut menyatakan dia menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi meneruskan minat dalam fotografi.
Pengalaman unik Qer sepanjang tujuh tahun menjadi jurugambar perkahwinan.
"Fotografi ni saya belajar sendiri saja... daripada minat terus jadi kerjaya.
"Bermula dari zaman diploma, saya beli kamera dan tangkap gambar seronok-seronok sahaja. Bila dah yakin barulah mula buat job wedding.
"Masa tu beli kamera pakai duit PTPTN dulu. Selepas dah start buat job baru upgrade sedikit demi sedikit sampai sekarang masih upgrade lagi," jelasnya.
Bagi saya pengalaman ni agak rare sebab sebelum ni shoot wedding tak pernah berlaku situasi macam ni. Pengantin lelaki pun tiba dengan ambulans persendirian.
QER
Terdahulu, Qer mula tular di media sosial kerana video seorang pengantin lelaki dibawa menaiki ambulans untuk majlis pernikahan.
Mengakui pertama kali berhadapan dengan situasi seumpama itu, ujarnya, ia adalah pengalaman rare namun sudah bersiap sedia kerana telah dimaklumkan awal oleh pasangan pengantin.
"Bagi saya pengalaman ni agak rare sebab sebelum ni shoot wedding tak pernah berlaku situasi macam ni. Pengantin lelaki pun tiba dengan ambulans persendirian dan ditolak dari atas katil masuk ke dalam dewan.
Warganet menyangkakan Qer adalah pengantin lelaki terbabit.
"Tak terkejut sangat dengan situasi tu sebab pengantin dah maklumkan awal-awal... selepas pasangan dia terlibat dalam kemalangan iaitu 10 hari sebelum majlis akad nikah diadakan.
"Untuk shoot tu rasa kekok sikit sebab tak pernah hadapi pengantin berarak duduk atas katil," ujarnya sambil menambah tiada teknik khas yang digunakan sebaliknya enjoy dengan situasi berkenaan.
Video perkongsian Qer tular selepas dimuat naik dalam TikTok dan ditonton lebih 308,000 pelayar.
Namun rata-rata komentar menyangkakan dia adalah pengantin lelaki yang berada di atas katil dan sedang ditolak untuk majlis akad nikah.
No comments:
Post a Comment