JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan momen majlis pertunangan seorang wanita bersama bekas abang iparnya sendiri, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Video tersebut dimuat naik di laman TikTok oleh wanita itu sendiri, Rafida Sonia Fahrani. Pada bahagian awal video tersebut, dia berkongsi gambar perkahwinan kakaknya bersama tunangnya itu pada tahun 2014.
Namun, pada 11 September lepas, gadis tersebut bertunang pula dengan bekas abang iparnya itu selepas kematian kakaknya setahun yang lalu.
“Seperti yang diberitahu, ia adalah majlis pertunangan saya bersama bekas abang ipar. Dia pernah berkahwin dengan kakak kandung saya yang telah meninggal dunia setahun lalu,” kata Rafida.
Tambah gadis yang berasal dari Depok, Jawa Barat itu, keputusan untuk berkahwin dengan abang iparnya mendapat restu keluarga.
“Ia memang dicadangkan oleh kedua-dua belah keluarga, namun mereka tidak memaksa. Kami bebas membuat keputusan sama ada untuk menerimanya atau tidak,” ujarnya.
Anak bongsu daripada dua adik-beradik itu berkata, bakal suaminya atau bekas abang iparnya merupakan seorang lelaki yang mementingkan ikatan kekeluargaan.
“Dia seorang suami dan bapa yang baik. Dia juga amat baik kepada ibu bapa saya yang membuatkan saya membuat keputusan untuk memilihnya,” jelasnya. – Agensi
No comments:
Post a Comment