SEPANG: Lima rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Laos telah berjaya diselamat dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lewat petang tadi.
Empat daripada lima mangsa tiba di KLIA jam 7.50 malam, menaiki pesawat Thai Smile dari Vientiane ke Bangkok dan kemudian terus ke KLIA, manakala seorang lagi mangsa dijangka tiba jam 12 tengah malam ini.
Kepulangan mereka disambut Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Musa Hassan dan Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim.
Seorang mangsa berkata, mereka berada di Laos sejak Mac lalu dan dipaksa menjadi ‘scammer’ oleh kumpulan sindiket yang didalangi warga China dan hanya menerima sekali sahaja gaji berjumlah CNY7,000 sepanjang lapan bulan bekerja.
Selain itu, mereka turut melihat seorang mangsa dipukul dan diancam bunuh jika cuba melarikan diri.
“Pasport dan telefon bimbit telah disimpan mereka apabila kami sampai di Laos. Sekiranya tidak mencapai target tertentu, kami tidak dibayar gaji pada bulan seterusnya, serta diugut akan dijual ke Myanmar.
“Kami lihat mereka (sindiket) memukul seorang warga China yang cuba untuk melarikan diri di depan kami sebagai amaran. Ada antara mereka yang dipukul sampai kaki patah.” katanya.
Sementara itu, Musa yang juga bekas ketua polis negara berkata, semua mangsa berjaya melarikan diri kira-kira dua minggu lalu dengan bantuan penduduk tempatan dan berlindung di sebuah rumah sebelum menghubungi keluarga mereka untuk mendapatkan bantuan.
“Kesemua mangsa menghubungi keluarga di Malaysia minta diselamatkan. Keluarga mangsa turut menghubungi MHO dan MCCC bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam sidang media di KLIA malam tadi.
Musa turut mengecam kerajaan Myanmar yang dakwanya tidak menghiraukan jenayah pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia.
“Ramai rakyat Malaysia masih dikurung dan diseksa di mana mereka merayu untuk diselamatkan, pulang ke negara ini. Mereka hidup dalam keadaan tertekan. Sebilangan mereka gagal dikesan dan ahli keluarga di sini sangat bimbang,” katanya.
Hishamuddin memberitahu, MHO bersama MCCC akan ke pejabat PBB di Putrajaya pada hari ini bagi melaporkan Myanmar yang bukan sahaja terlibat dengan rampasan kuasa malah seolah-olah membenarkan negaranya menjadi hub pemerdagangan manusia.
“Di Kemboja, polisnya membantu dengan serius untuk selamatkan rakyat Malaysia dan juga Laos yang dilaporkan beri kerjasama dengan kedutaan kita.
“Malangnya, sindiket ini mula membawa keluar rakyat Malaysia di Kemboja dan Laos untuk diseludup masuk ke Myanmar. Ini menunjukkan bahawa Myanmar sehingga hari ini menjadi hub pemerdagangan manusia di rantau ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment