Barisan Nasional (BN) perlu menang terlebih dahulu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baharu isu berhubung tawaran tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) boleh dipertimbangkan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri kerajaan sementara itu mengulas berhbung kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang berkata tiga jawatan TPM akan diwujudkan yang terdiri daripada wakil negeri Sarawak dan Sabah jika berjaya menang PRU-15 nanti.

“Tak tahu lagi, biar kita menang PRU dulu. Kalau benda ini dalam manifesto, tentu sahaja kita pastikan ia dilaksanakan.

“Kita tunggu lepas menang dulu. Baru kita bincang,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Jelasnya lagi, perkara dibangkitkan Zahid itu akan dibincangkan terlebih dahulu dan perlu menunggu sehingga tiba hari keputusan PRU-15.

“Tentu sahaja kalau teruskan dengan cadangan ini, manifesto kita ini, tentunya nama itu dari Sabah. Kalau wakil Sabah, tentunya Sabah bagi nama. Kalau wakil sarawak, kerajaan Sarawak akan bagi nama. Kita akan bincang.

“Tapi tunggu dulu lah. Biar undi kita dulu,” katanya lagi.

Semalam, Zahid mencadangkan gabungan itu melantik tiga TPM jika ia memenangi PRU pada 19 November.

Selain Zahid, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengutarakan cadangan yang hampir sama untuk mewujudkan jawatan TPM bagi mewakili negeri borneo tersebut.

Namun, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengkritik BN dan Pakatan Harapan (PH) kerana membuat janji untuk mewujudkan jawatan tersebut dan menyamakannya dengan tawaran “mi segera” untuk memenangi Sabah dan Sarawak.