Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur secara terhormat dan tidak mengheret UMNO demi kepentingan peribadinya semata-mata lagi.

Majoriti ketua-ketua bahagian UMNO seluruh negara sudah hilang kepercayaan terhadap Presiden dan bengang dengan tindakannya mengheret parti untuk duduk sekatil dengan Pakatan Harapan (PH) dan menjadi macai DAP, kata Ketua Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani.

“Saya tanpa segan silu, saya ingin nyatakan bahawa Presiden UMNO (Zahid) mesti berundur dan kena serah pada pemimpin lain.

“Saya berpendirian Zahid kena tanggungjawab di atas apa yang berlaku hari ini. Kalau kita lihat BN (Barisan Nasional) dalam sejarah inilah paling teruk sekali,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini, Zahid gagal membawa kejayaan kepada BN apabila mengalami kekalahan yang terburuk dalam sejarah.

Malah, Zahid juga merancang untuk mengheret BN duduk sekatil dengan PH dan DAP bagi membentuk kerajaan pusat walaupun ketetapan sudah dibuat menolak kerjasama dengan PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Kejayaan Zahid memujuk BN Perak untuk bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri sudah mencetuskan kemarahan akar umbi UMNO, tetapi Zahid nampaknya masih mahu meneruskan cita-citanya untuk duduk sekatil dengan PH di peringkat pusat pula.

Dalam pada itu, Yahya berkata, beliau tidak takut sekiranya dipecat susulan kenyataan mendesak Zahid untuk berundur.

Tambahnya, Zahid perlu berjiwa besar untuk berundur daripada mengemudi UMNO.

“Dalam soal ini, kita minta dia fikir bukan untuk hal sendiri. Kena fikir tentang masa depan parti. Kalau sekarang hanya dapat 30 kerusi Parlimen dan dia terus pimpin UMNO, kita bimbang makin teruk.

“Rakyat di bawah memang menolak dia,” katanya lagi.

Pada Isnin, pimpinan BN dan PH diketuai Zahid dan Anwar mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pacific dipercayai bagi memuktamadkan kerjasama membentuk kerajaan campuran.

Bagaimanapun, sehingga sekarang Anwar gagal mengemukakan bukti majoriti yang didakwa dimilikinya ke Istana Negara.