Najib lihat dari penjara Perlis bakal tumbang, hantar anak bantu
Gelombang sokongan yang semakin meningkat kepada Perikatan Nasional untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perlis selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini menakutkan Datuk Seri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang.
Perkara itu dijelaskan anaknya, Nooryana Najwa yang hadir membantu kempen calon BN di negeri itu, hari ini, menurut Mkini.
“Semasa saya berjumpa Datuk Seri Najib beliau rasa kecewa dengan apa yang terjadi di Parlimen Arau. Beliau tak suka dengar berita perpecahan di dalam parti,” kata Nooryana pada sidang media di bilik gerakan BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, dalam Parlimen Arau.
Bekas Perdana Menteri itu yang didapati bersalah terhadap tuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International, meminta anaknya itu membantu kempen BN setelah sokongan terhadap parti itu semakin merosot, terutama di Perlis.
Perlis yang merupakan kubu kuat BN mempunyai 15 DUN dan tiga kawasan Parlimen.
Pada PRU-14 lalu, dua daripada kerusi Parlimen dimenangi BN yang diwakili Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin, manakala satu lagi dimenangi PKR. Sementara daripada 15 kerusi DUN pula, 10 dimenangi BN, PKR (tiga) dan PAS (dua).
Bagaimanapun, Shahidan bertanding sekali lagi di Parlimen Arau atas tiket Perikatan Nasional, setelah BN menggugurkannya sebagai calon. Zahidi juga turut tidak dicalonkan sebaliknya kedua-dua mereka diganti calon luar Perlis.
Dalam lawatan kempennya ke Perlis semalam (8 November 2022), Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin negeri itu akan jatuh ke tangan gabungan itu dalam pilihan raya 19 November ini.
Menurut Muhyiddin beliau melihat satu kebangkitan rakyat yang telah menyedari keupayaan Perikatan Nasional menguruskan negara dan masyarakat, walaupun hanya memerintah negara dalam tempoh 17 bulan.
Justeru, beliau yakin dalam PRU-15 pada 19 November ini, Perikatan Nasional akan menang di semua 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen di Perlis, bagi membentuk kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil.
Malah, katanya gelombang itu bukan sahaja berlaku di Perlis, sebaliknya di seluruh negara hasil gabungan kukuh parti komponen Perikatan Nasional yang bertanding, dengan harapan memenangi 125 kerusi bagi membentuk sebuah kerajaan lebih stabil.
“Saya dapat menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri… Perlis sudah ada gelombang hebat. Ini menunjukkan petanda luar biasa rakyat Perlis sudah bersedia menyokong Perikatan Nasional bagi menerajui sebuah kerajaan baharu.
“Begitu juga untuk menegakkan sebuah Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional. Insya-Allah, jika gelombang ini berterusan ia akan menjadi gelombang yang lebih besar,” katanya.
Kebangkitan rakyat Perlis dapat dikesan apabila setiap kali program anjuran Perikatan Nasional, malah walaupun dalam keadaan hujan, ribuan penduduk Perlis, hadir pada program berkenaan, termasuk penyokong UMNO.
1 comment:
Takkan orang Perlis nak kena tunggang dgn Shahidan selama2nya. Wake up pengundi 18 Perlis
Post a Comment