Ikon permotoran yang ditahan pihak polis didakwa membuat ugutan untuk menyebarkan video tidak senonoh dengan bekas kekasihnya sejak Oktober lalu.

Tidak tahan dengan ugutan tersebut menyebabkan seorang wanita tampil membuat laporan polis minggu lalu dan suspek sudah ditahan pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata siasatan mendapati suspek dipercayai mengugut mangsa selepas wanita itu menolak ajakannya untuk bertemu pada Oktober lalu.

“Siasatan mendapati suspek menghantar satu mesej di WhatsApp kepada mangsa pada jam 3.30 petang, 19 Oktober lalu mengajak mangsa keluar pada jam 11 malam.

“Bagaimanapun, mangsa menolak ajakan itu dan perkara terbabit dipercayai menyebabkan suspek mengugut mahu menyebarkan video mangsa bersamanya melakukan hubungan terlarang di media sosial.

“Ugutan itu menyebabkan mangsa berasa takut dan tertekan sebelum dia akhirnya tampil membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada jam 5.40 petang, Rabu lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Ariffin berkata, siasatan juga mendapati mangsa yang berusia 21 tahun mula mengenali suspek pada tahun 2020.

“Berikutan itu, suspek yang berusia 22 tahun ditangkap pada 9 Disember (Jumaat) lalu untuk membantu siasatan dan kini direman empat hari sehingga Selasa ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Semalam, BH melaporkan seorang pemuda yang juga ikon permotoran ditahan polis kerana disyaki mengugut menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya, kelmarin. Agendadaily