Hairan macam mana Anwar boleh lantik orang ada kes mahkamah: Dr Mahathir
Datuk Seri Anwar Ibrahim dibidas bekas Perdana Menteri (PM) Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengambil seorang yang mempunyai kes mahkamah sebagai pemimpin kanan dalam kerajaan.
Dr Mahathir yang juga PM dua kali menyifatkan Anwar yang baharu dapat jadi PM Ke-10 membelakangi kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ apabila melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang berdepan kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
“Ya, betul belum dihukum tetapi orang ini sudah dihadapkan ke mahkamah, kalau kita ada orang sebegini jadi pemimpin, akan rosaklah negara kita.
“Saya berpendapat, kalau kita nak bersihkan negara kita, tidak boleh pilih orang yang semua orang berpendapat dia seorang yang melakukan jenayah.
“Jadi saya hairan bagaimana Anwar boleh pilih orang ini walaupun dia pemimpin parti tetapi dia menghadapi tuduhan di mahkamah. Ya betul tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
“Tetapi kalau dia dihadapkan dengan satu-satu kes itu sudah menunjukkan dia (Zahid) tidak layak jadi pemimpin,” katanya dipetik laporan BH.
Dr Mahathir berkata pelantikan Zahid adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat.
Zahid dilantik sebagai TPM oleh Anwar ketika mengumumkan barisan 28 anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pada 2 Disember lalu.
Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu, memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.