Jumlah mangsa yang terkorban akibat tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor, sehingga jam 7 malam ini meningkat kepada 21 orang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan petang tadi berkata sehingga jam 6.18 petang, 12 mangsa, termasuk lima guru dikhuatiri masih hilang.

Menurutnya, seramai 61 mangsa terselamat dalam kejadian tanah runtuh itu.

“Sehingga jam 6.18 petang, seramai 61 orang mangsa selamat, 21 orang mangsa meninggal dunia dan 12 orang mangsa dikhuatiri masih hilang.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih giat dijalankan dan akan dilakukan 24 jam,” kata kenyataan itu.

Jurucakap JBPM Selangor pula berkata, seramai 230 pegawai dan anggotanya dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan meneruskan pencarian sehingga malam ini.

“Operasi mencari dan menyelamat akan dihentikan sekiranya cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

Sementara itu, tujuh guru wanita Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dilaporkan terbabit dalam tragedi itu dengan dua daripadanya terselamat.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SJKC Mun Choong, U Chin Ong berkata nasib lima lagi guru masih belum diketahui dan usaha mengesan mereka masih dilakukan.

Chin Ong berkata, kumpulan 23 orang itu membabitkan guru dan keluarga mereka berada di tapak perkhemahan sejak Rabu lalu.

“Mereka sepatutnya pulang pagi ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Chin Ong berkata, aktiviti perkhemahan di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu bukan aktiviti rasmi sekolah.