Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis perjudian dan loteri mematuhi arahan menutup operasi mereka mulai hari ini.

Operasi perjudian di negeri itu ditamatkan mulai semalam, setelah kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen operasi berkaitan.

Menurutnya semua lesen operasi perjudian itu tamat tempoh mulai 31 Disember 2022.

“Semua penguat kuasa PBT diarah memeriksa kedai judi dan loteri di seluruh Kedah bagi memastikan tidak ada yang dibuka hari ini.

“Semua lesen tamat tempoh pada 31 Disember dan kita tidak lagi memperbaharui lesen judi,” katanya menurut laporan BH hari ini (1 Januari 2023).

Pada 14 November 2021, Muhammad Sanusi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mengumumkan kerajaan negeri tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di negeri itu.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelak mudarat lebih besar kepada penduduk, selain bagi mencapai sasaran sifar judi.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan kontroversi apabila masyarakat bukan Islam mendakwa ia melanggar hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

Sementara itu, tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati semua premis perjudian ditutup dan ada kedai yang ditampal notis penamatan operasi sepenuhnya sebagai mematuhi arahan kerajaan negeri.

Seorang pekerja premis nombor ramalan yang ditemui berkata, semua perniagaan berkaitan perjudian atau pertaruhan di Kedah tidak lagi mendapat lesen operasi.

“Kerajaan tidak bagi lesen, jadi kedai tidak boleh buka lagi. Saya rasa memang tidak ada lagi kedai judi di Kedah, semua syarikat perjudian kena tutup perniagaan, tidak ada lagi premis yang berani buka,” katanya. agendadaily