Bekas Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, dan empat lagi ahli PKR dipecat selepas bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tanpa persetujuan parti.

Empat lagi yang dipecat ialah Puah Chee Haur daripada cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (Gopeng), M Mohganan (Taiping), serta Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya), menurut laporan Bernama.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Dr Tan Yee Kew, ketika dihubungi Bernama berkata keputusan pemecatan dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti yang diadakan malam tadi.

“Ya betul, MPP memang ada mesyuarat, semalam, dan kami memutuskan untuk memecatnya (Tian Chua) serta empat lagi ahli.

“Mereka dipecat kerana bertanding pada pilihan raya (PRU dan PRN) sebagai calon Bebas dan atas tiket parti lain.

“Surat pemecatan akan dihantar kepada mereka, esok,” katanya.

Pada PRU-15, Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu, bertanding di kawasan sama atas tiket Bebas, manakala Chee Haur dan Ahmad Tarmizi masing-masing bertanding atas tiket Parti Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji serta DUN Chenderiang, Perak.

Mohganan pula bertanding di Parlimen Taiping sebagai calon Bebas, manakala Nur Khairunisa bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu bagi DUN Sadong Jaya pada PRN Sarawak Ke-12