Susulan kekalahan teruk semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, UMNO kini hanya menjadi penumpang untuk mendapatkan sedikit jawatan.
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata mereka tidak boleh sekadar menjadi penumpang dalam kerajaan dan perlu melakukan perubahan selepas kekalahan teruk pada PRU-15 lalu sehingga tinggal hanya beberapa kerusi Parlimen dimenangi.
“Kita kena bangkit sebagai sebuah parti yang kuat. Tidak menumpang orang untuk mendapat sedikit sebanyak pengaruh ataupun kuasa. Kita parti yang mewakili majoriti rakyat Malaysia sebagai parti orang Melayu.
“Jadi takkanlah kita berharap supaya kita duduk sebagai penumpang dan hanya mengharap kepada sedikit jawatan yang tidak memberi makna pun kepada kita,” katanya dipetik laporan BH.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata UMNO perlu berada di hadapan dan menjadi parti yang menentukan hala tuju negara.
“Kita mahu mencorakkan kedudukan negara ini. Terutama sekali bagi pihak majoriti rakyat negara ini yang mahu kita menentukan hala tuju untuk masa depan negara,” katanya.
UMNO mutakhir ini dilihat bergelora dengan pelbagai isu yang timbul sehingga mencerminkan parti itu dilanda perpecahan.
Selain ketika berdepan PRU-15 yang menyaksikan UMNO kalah teruk, kelemut dalam parti itu melarat sehingga ke pantas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 baru-baru ini, apabila isyarat konflik jelas kelihatan dalam isu berkaitan dua jawatan tertinggi parti yang tidak dipertandingkan.
Terkini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpin UMNO yang dikatakan terbabit dengan tindakan sabotaj.
No comments:
Post a Comment