Banyak persoalan telah ditimbulkan oleh rakyat, walaupun belum sampai 100 hari Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memerintah, khususnya berkaitan masalah yang membelenggu rakyat, terutama kos sara hidup yang meningkat.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan PH-BN lebih banyak menggunakan ‘bahasa melankolik’ yang sudah tentu tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya sedar bahawa kerajaan PH-BN belum sampai 100 hari memerintah tetapi sudah banyak persoalan yang ditimbulkan rakyat. Satu demi satu kelemahan dan ketidakcekapan pentadbiran serta pencabulan kuasa muncul, yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.
“Isu-isu yang melingkari kos sara hidup rakyat tidak mampu ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PH-BN hari ini. Jumlah miskin bandar semakin meningkat.
“Kumpulan B40 makin membesar dan kini sudah menjadi sehingga kumpulan B52 tetapi Perdana Menteri Ke-10 tetap khayal dengan bahasa- bahasa puitis dan melenkolik.
“Betul bahasa-bahasa melenkolik ini sedap didengar tetapi apakah ia menyelesaikan masalah rakyat? Isu bekalan telur sehingga kini belum selesai dan sekarang harga sayur pula meningkat sehingga 160 peratus,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini (12 Februari 2023).
Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata bila ada isu bekalan telur, Timbalan Menteri boleh kata “Tidak boleh paksa ayam bertelur” – bila harga ayam mahal, Menteri kata “by right kena kurangkan makan ayam”.
Begitu juga, katanya, dengan isu nepotisme yang dipertahankan Perdana Menteri Ke-10 dengan pelbagai alasan meskipun ramai yang mempersoalkannya khususnya dari kalangan PN.
“Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR), walaupun turut menegur isu nepotisme tetapi nadanya berbeza sama sekali dengan watak garang Rafizi Ramli sebelum ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan dalam keadaan itulah pentingnya peranan PN dalam melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan PH-BN.
Justeru, Hamzah sekali lagi mengulangi bahawa langkah mewujudkan portfolio khas dalam kalangan ahli Parlimen PN, bukannya pembentukan ‘Kabinet bayangan’.
“Perikatan Nasional telah melantik Ketua-Ketua Portfolio bagi meneliti, mengkaji dan menjuarai isu-isu membabitkan kementerian berkaitan. Portfolio ini adalah tanggungjawab berkumpulan.
“Ketua-ketua portfolio akan dibantu oleh ahli jawatankuasa portfolio yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang lain. Ramai yang salah tafsir menganggap Ketua-Ketua Portfolio ini sebagai Kabinet Bayangan – sebenarnya bukan,” katanya.
Menurutnya pengkhususan portfolio ini dibuat bagi membolehkan PN bergerak sebagai sebuah pasukan yang kukuh dan ampuh dalam melakukan tugas semak dan imbang kepada kerajaan membabitkan setiap kementerian.
“Pasukan ini akan melangkah secara sederap dan seirama dalam menegur, menyatakan pandangan serta tidak terkecuali memberi sokongan terhadap perkara- perkara yang baik di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10.
“Pembentukan portfolio ini adalah manifestasi bahawa kami sudah sedia sebagai pembangkang yang kredibel, bertanggungjawab, berkesan, efektif, wibawa dan berintegriti tinggi. Kepada kerajaan PH-BN pula, perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. It’s time to deliver. Walk The Talk Please!,” katanya.
No comments:
Post a Comment