Semua pencapaian yang dibentangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah merupakan kejayaan cemerlang kerajaan terdahulu yang telah disahkan baginda sendiri.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, prestasi cemerlang yang ditonjolkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapat pengiktirafan baginda sebelum diteruskan oleh kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Data-data yang dikatakan oleh Tuanku itu ialah hasil kejayaan-kejayaan kerajaan sebelum ini yang ternyata cemerlang.

“Semua pencapaian yang dibentangkan adalah kejayaan kerajaan terdahulu dan ia bukti nyata sebagaimana yang dinyatakan oleh Tuanku.

“(Kerajaan PH-BN) yang baru-baru ini baru dua bulan, tak ada apa-apa lagi,” katanya, lapor Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas titah Al Sultan Abdullah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas juga menyambut baik saranan Al Sultan Abdullahyang menyeru semua ahli politik supaya mengetepikan agenda politik sempit.

Menurut beliau, Pas telah lama menyeru agar politik ekstrem diketepikan oleh rakyat.

“Politik sempit bertentangan dengan nilai Islam dan tentunya tidak membantu negara,” katanya.

Al Sultan Abdullah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini menyeru semua pihak mengenepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan.

Baginda bertitah, kestabilan lanskap politik menerusi ikatan perpaduan ahli-ahli parlimen perlu dijadikan sebagai manifestasi dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang.

Tuan Ibrahim juga menambah, Pas akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif yang akan menjadi semak imbang kepada kerajaan persekutuan.

“Kita menyambut baik titah Tuanku dan PN akan bertindak sebagai pembangkang yang konstruktif bagi semak imbang kerajaan yang ada,” katanya lagi.AD