- Oleh KOSMO!
- 1 Mac 2024, 6:30 pm
BANGKOK – Sebuah klip video dirakam wanita Indonesia yang mendakwa bahawa percutian bulan madunya ke Thailand musnah selepas suaminya tidak dibenarkan masuk ke negara itu kerana tidak membawa wang tunai minimum adalah tidak benar, lapor portal berita Thaiger semalam.
Dalam video itu, wanita berkenaan mendakwa bahawa semasa perjalanan bulan madu mereka pada Januari lalu, dia melalui pemeriksaan imigresen tetapi suaminya ditahan dan dihantar pulang kerana tidak membawa wang tunai.
Walaupun cuba mengeluarkan wang daripada Mesin Teler Automatik (ATM) untuk membuktikan status kewangan mereka, suaminya masih dihantar pulang ke Indonesia.
Ia menyebabkan pembatalan perjalanan pasangan itu dan mereka memilih untuk berbulan madu di Jepun.
Namun, seorang jurucakap Polis Imigresen Thailand mendedahkan semalam bahawa selepas siasatan dilakukan, pihaknya mendapati wanita itu telah pergi ke Thailand bersendirian melalui Lapangan Terbang Don Mueang dari Jakarta pada 4 Januari lalu.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan bukti ada suami yang menemani sekali gus bercanggah dengan dakwaannya.
Dia dibenarkan masuk ke Thailand dan meninggalkan negara itu pada 16 Januari lalu selepas tinggal selama 13 hari.
Siasatan juga mendapati wanita itu kerap melancong ke Thailand dan mengada-adakan cerita itu untuk menjana kandungan untuk perniagaan onlinenya, lapor laman berita KhaoSod.
Insiden itu terbongkar apabila Kedutaan Indonesia mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya membawa wang tunai minimum 15,000 baht (RM1,992) untuk mengelak daripada diusir imigresen Thailand.
Menurut Imigresen Thailand, tumpuan pemeriksaan adalah mengenai rancangan perjalanan dan tempahan penginapan pelawat, manakala wang tunai hanya elemen tambahan memandangkan ramai pelancong kini menggunakan kad kredit dan sistem pembayaran elektronik. – AGENSI
No comments:
Post a Comment