- Dua daripada empat pelancong asing yang berbogel di Gunung Kinabalu dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini. Empat pelancong terbabit, Eleanor Grace Hawkins, 23, dari England; Dylan Thomas Snel, 23, warga Belanda; serta Lindsey Petersen, 23, dan adiknya Danielle Petersen, 22, dari Kanada dihukum penjara tiga hari dan denda RM5,000. - Foto Bernama
KOTA KINABALU - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga hari terhadap empat pelancong Barat mulai tarikh mereka ditangkap dan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara kerana melakukan perbuatan lucah di Gunung Kinabalu.
Keempat-empat mereka, yang ditangkap pada 9 Jun, membayar denda itu melalui peguam masing-masing pada kira-kira jam 7 malam ini dan akan dihantar pulang ke negara asal.
Hakim Dean Wayne Daly menjatuhkan hukuman itu terhadap rakyat Britain Eleanor Grace Hawkins, 23; rakyat Belanda Dylan Thomas Snel, 23 ; dan dua beradik wargaKanada Lindsey Peterson, 23 dan Daniella Anne Louisa Peterson.
Keempat-empat mereka kelihatan tenang ketika tuduhan dibacakan dan mengaku bersalah terhadap tuduhan berbogel di kawasan puncak Gunung Kinabalu pada kira-kira 6.45 pagi, 30 Mei.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Daly berkata, mahkamah menerima akuan bersalah mereka sebagai faktor meringankan hukuman, walaupun perbuatan mereka itu mengejutkan negara dan menimbulkan kemarahan orang ramai.
"Masyarakat, terutama di Ranau, tidak senang dengan perbuatan mereka itu kerana mereka menganggap Gunung Kinabalu sebuah tempat suci," katanya. Kesemua tertuduh diwakili peguam Ronny Cham, manakala Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin mengetuai pasukan pendakawaan tiga anggota.
Menurut fakta kes, empat tertuduh itu adalah antara 10 pendaki warga asing yang mencabar satu sama lain untuk berbogel bagi membuktikan siapa dalam kalangan mereka yang dapat bertahan daripada cuaca sejuk di puncak gunung itu.
Malim gunung yang mengiringi mereka, Azlan Ramli menasihati mereka agar tidak berbuat demikian, tetapi tidak dipedulikan.
Jamil pula meminta mahkamah mengenakan hukuman yang boleh memberi pengajaran, terutama dengan mengambil kira kepentingan awam.
"Banyak orang marah dengan perbuatan yang menimbulkan perasaan jengkel dalam kalangan rakyat itu.
"Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelawat ke negara ini, tetapi kami mengharapkan mereka menghormati rakyat dan budaya di tempat mereka kunjungi," katanya.
Keempat-empat tertuduh dibawa ke kompleks mahkamah pada kira-kira 2.44 petang dengan dua kenderaan pacuan empat roda dan dikawal ketat oleh anggota polis.
Petugas media tempatan dan asing berebut-rebut untuk merakam gambar mereka.
Hawkins mamakai kemeja T berwarna merah manggis dan berseluar jean, Snel berkemeja putih dan jean, Lindsey berbaju biru muda dan jean, manakala Daniella berbaju T gelap dan jean. - Bernama
No comments:
Post a Comment