Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata kes membabitkan adik lelaki kepada seorang pelakon wanita itu disiasat menurut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
"Kes itu berlaku di asrama sekolah berkenaan pada Rabu malam selepas mangsa dan rakan-rakannya yang baru balik membeli makanan berikutan lapar dimarahi sekumpulan pelajar Tingkatan Lima.
"Pelajar-pelajar Tingkatan Satu berkenaan mendakwa selain dimarah kerana keluar daripada asrama tanpa kebenaran, mereka turut dipukul sehingga lebam di beberapa bahagian badan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Beliau berkata sebaik menerima laporan daripada seorang ibu mangsa, pihaknya memulakan siasatan termasuk mendapatkan laporan kesihatan pelajar-pelajar terbabit. 
Mior Faridalatrash berkata polis telah mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kejadian berkenaan dan semua pelajar termasuk mangsa yang dicedera akan dipanggil Isnin ini, untuk direkodkan keterangan.
Katanya polis juga telah berhubung dengan sekolah berkenaan dan pihak sekolah berjanji akan memberi kerjasama bagi membantu siasatan kes itu. 
"Berdasarkan siasatan awal, empat pelajar senior yang tinggal di asrama berkenaan dipercayai terlibat dalam kejadian pukul itu," katanya. - Bernama