KOTA BHARU - Selepas empat hari menghilangkan diri akhirnya mayat mangsa Mohd Sainuddin Wahab,37 ditemui di kawasan tali air ‎berhampiran dusun belakang kediaman ibunya di Kampung Machang, Bubuk Peringat di sini petang tadi.
Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 4.25 petang dalam keadaan sempurna dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga atau empat hari lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh Mohd Rafain Mat Zin berkata,‎ setelah memperluaskan kawasan carian dengan bantuan anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) akhirnya mayat mangsa ditemui.
"Kita serahkan kes ini kepada polis untuk tindakan lanjut‎,"katanya.
Dalam kejadian Selasa lalu mangsa dilaporkan hilang setelah tidak kembali ke kediaman ibunya selepas keluar ke belakang dusun berhampiran kawasan itu.
Ekoran kehilangan mangsa keluarganya membuat laporan polis dan gerakan mencari dijalankan melibatkan polis, bomba dan JPAM bagi mengesan mangsa.