KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar pihak tertentu yang cuba untuk memberi gambaran bahawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar enggan bersalam dengan beliau dalam satu majlis baru-baru ini.
"Saya hanya geleng kepala bila saya melihat perkara ini di media sosial," katanya.
"Sultan Johor sedang tunggu saya dan kami minum bersama di istana. Baginda juga bawa saya naik kereta baginda. Saya duduk di sebelah baginda dan kami berbual.
"Bagaimanapun, mereka masih mahu sebarkan cerita palsu dan tidak sahih di media sosial," katanya pada majlis pelancaran Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF), Isnin.
Dilaporkan sebuah video dengan keterangan "Sultan Johor langsung tak salam Najib semasa ketibaan Tuanku ke upacara Majlis Perasmian Forest City 2016... kenapa??" menjadi viral di media sosial.
Dalam pada itu, Najib turut menegaskan mengenai betapa pentingnya sokongan diberikan kepada kerajaan pada masa ini yang sentiasa memperjuangkan kepentingan peneroka Felda.
"Adakah anda fikir mereka yang menandatangani deklarasi rakyat akan melindungi anda? Kamilah yang memberi keutamaan kepada anda dan kami akan meneruskan perjuangan kami untuk membantu peneroka," katanya.
No comments:
Post a Comment