BENTONG - Seorang peniaga wanita bukan sahaja disamun, malah dia hampir dirogol penjenayah yang memecah masuk rumahnya di sini awal pagi Selasa lalu.
Ketika kejadian pada jam 5.15 pagi itu, Wong Kah Mei, 29, dan anaknya sedang nyenyak tidur.
Menurut mangsa, dia terjaga selepas dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki berkulit gelap di dalam biliknya.
“Lelaki itu pegang dan mengacukan pisau ke arah saya sambil mengarahkan saya diam.
“Dia juga tanggalkan seluar dan tunjuk kemaluannya serta cuba rogol saya tapi terbantut selepas anak saya turut terjaga,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini semalam.
Kah Mei berkata, lelaki itu kemudian cuba memecahkan peti besi miliknya namun gagal sebelum melarikan diri.
Menurutnya, bagaimanapun dia tetap mengalami kerugian yang dianggarkan lebih RM31,000 apabila jam, barang kemas dan wang hasil perniagaan berjumlah RM20,000 serta wang tunai RM4,000 miliknya dilarikan penyamun terbabit.
Dia berkata, susulan kejadian itu, dia dan keluarganya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.