BATU GAJAH - Akibat terpesona dengan ayat-ayat cinta dan janji manis seorang lelaki asing di laman sosial, seorang guru Tadika sanggup menyerahkan RM62,000 kepada lelaki berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Supt Lee Ewe Kiang berkata guru tersebut yang juga ibu tunggal berumur 36 tahun hanya berkenalan dengan individu terbabit baru enam bulan.
"Dalam tempoh perkenalan itu, mereka tidak pernah berjumpa dan perhubungan mereka bertambah erat hanya melalui perbualan di laman sosial.
"Setelah mangsa terjerat dengan cinta suspek, suspek mula menagih simpati dan meminta pelbagai pertolongan kewangan daripada mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah hari ini.
Beliau berkata wanita berkenaan akhirnya bersetuju untuk memasukkan wang sebanyak RM62,000 ke dalam akaun suspek secara berperingkat.
Ewe Kiang berkata setelah menyedari dirinya ditipu, guru berkenaan yang tinggal di Slim River membuat laporan polis.
Beliau berkata hasil siasatan dan risikan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Batu Gajah, seorang wanita berumur 44 tahun ditangkap di sebuah pasar raya di Petaling Jaya, Selangor pada 3 Mac lalu kerana dipercayai berperanan sebagai keldai akaun kepada sindiket berkenaan.
"Susulan tangkapan itu, esoknya seorang penuntut kolej swasta serta lima lelaki warga Nigeria lain ditangkap pula di Pangsapuri Flora Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
"Pihak polis turut merampas pelbagai barangan di dalam rumah itu termasuk lima komputer riba, lima telefon bimbit, dua unit routers wifi dan 21 keping sim kad," katanya.
Beliau berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kemudian dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai kerana turut terbabit dengan kes lain di Pulau Pinang.
Ewe Kiang berkata kesemua mereka yang berumur antara 24 hingga 37 tahun itu dikesan menggunakan visa pelajar untuk memasuki negara ini kononnya untuk menimba ilmu pengetahuan.
"Sindiket yang melakukan kegiatan sejak dua tahun lalu itu mencari mangsa secara rawak di laman sosial dengan menggunakan profil palsu dan menyusun ayat-ayat cinta termasuk mahu menjadikan mangsa sebagai pasangan hidup mereka melalui skrip yang sudah direka," katanya.
Beliau berkata sebanyak 134 kes cinta palsu siber dilapor di Perak tahun lepas dengan jumlah kerugian RM2.2 juta serta 38 orang ditangkap yang 11 daripada mereka adalah warga asing.
"Manakala sehingga Februari tahun ini, sebanyak 34 kes penipuan cinta siber dengan jumlah kerugian RM1.2 juta dan 11 tangkapan berjaya dilakukan," katanya. - Bernama