KEMAMAN – Seorang gadis Kristian telah memeluk agama Islam ketika mengikuti syarahan penceramah terkenal antarabangsa Dr Zakir Naik di Padang Astaka di sini, malam tadi.
Wu Nina Grace, 19 dari Johor keturunan Filipina adalah seorang penuntut di sebuah kolej tempatan di sini.
Gadis itu mengucap syahadah di hadapan lebih 30,000 hadirin dan kelihatan sedikit sebak. Nina yang ditemui berkata dia mula mengenali Islam sejak berusia 13 tahun.
Nina dengan rela hati bersetuju mengucap dua kalimah syahadah selepas berpuashati mendengar penjelasan Dr Zakir mengenai konsep ketuhanan dan kenabian Muhammad.
Dr Zakir bertanyakan soalan adakah dia percayakan ALLAH SWT dan Rasul sebelum diakui oleh gadis berkenaan.
Pendakwah itu kemudiannya berkata, sekiranya sudah percaya dengan dua perkara itu mengapa dia tidak mengucap dua kalimah syahadah.
Sejurus kemudian, gadis itu terus mengikut Dr Zakir mengucap dua kalimah syahadah.
Sementara itu, mengenai perjalanan ceramah Dr Zakir selama enam hari di negeri ini, Menteri Besar berkata, beliau bersyukur ia mendapat sambutan luar jangkaan dan telah menawarkan pulau di Tasik Kenyir untuk dijadikan pangkalan Islamic Research Foundation bagi Asia Tenggara.
"Dr Zakir Naik menunjukkan minat yang tinggi dan perbincangan terperinci akan berlangsung nanti" katanya yang dipetik laporan Bernama.
Katanya, kerajaan negeri juga bercadang mengundang Dr Zakir ke negeri ini tahun depan dengan turut disertai penceramah terkenal lain di dunia.
Ahmad Razif ketika ditanya sama ada beliau mempunyai perancangan untuk mengambil Nina sebagai anak angkat, menjawab: "InsyaAllah. Alhamdulillah."
No comments:
Post a Comment