NAPIER - NEW ZEALAND. Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara lima tahun 7 bulan selepas menyimbah air panas ke rakan sekerjanya hanya kerana makan sosej teman wanitanya.
Selepas membuat kopi, Kian Wee Show mengisi baldi dengan air panas sebelum menuangnya ke rakan sekerjanya, Bin Wu yang ketika itu sedang duduk dan makan tengahari di kafetaria di Whakatu di sini.
Tindakan lelaki itu yang dirakam kamera litar tertutup CCTV menunjukkan mangsa terkejut serta bangun dari tempat duduk sebaik dituang air panas berkenaan.
Mangsa kemudian bergegas mendapatkan rawatan di bilik pertolongan cemas manakala seorang rakan mangsa bertindak memukul suspek dengan baldi.
Bagaimanapun, Wee Show kembali ke mejanya dan terus menyambung makan tengah hari seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Serangan itu menyebabkan mangsa melecur tahap dua di belakang leher dan kepala, lapor Stuff.co.nz
Wee Show mengaku bersalah mencederakan dengan niat sehingga menyebabkan kecederaan tubuh badan dan dijatuhkan hukuman di Mahkamah Daerah Napier.
Menurut mangsa, dia tidak mengenali lelaki ini dan sehari sebelum kejadian, dia ada mengambil sosej terakhir di kafetaria.
"Saya tidak rasa orang mengambil serius perbuatan ini. Saya tidak tahu apa yang lelaki itu fikirkan," katanya.
Mangsa turut mengalami parut kekal.
Sementara itu, hakim berkata,  Wee Show telah merancang terlebih dahulu untuk menyerang lelaki berkenaan.
"Sehari sebelum kejadian, lelaki itu berang selepas mangsa mengambil dan makan sosej milik teman wanitanya," kata hakim.
Kedua-dua lelaki bekerja di New Zealand dan mempunyai visa kerja yangs sah.