"Assalamualaikum! Abang tengok ni, kenal tak budak perempuan ni? Nama dia Ana," katanya sambil menghulurkan telefon bimbitnya yang tiada sim card.
"Ana? Ana mana ni?" binggung seketika.
"Dia duduk di depan rumah saya. Baik orangnya. Dia selalu bagi saya makan," jawabnya.
"Depan rumah? Rumah awak di mana?" garu kepala dibuatnya.
"Apalah awak ni. Rumah saya depan rumah Ana lah! Tadi kan sudah beritahu?!" bentaknya dengan nada kecil.
Sah, ini lelaki yang agak istimewa. Berkenalan dengan seseorang yang tidak berumah ini telah banyak menginsafkan diriku.
Dia yang digelar sahabatku sebagai Shod Dhod Tho Zho, cekap menghafal dan mengeja. Cakapnya banyak tergagap dan amat pantang jika saya mencelah di tengah-tengah perbualannya.
"Razak, awak doakanlah saya," seloroh saya sebelum melangkah pulang.
"Nak doa apa ni? Buatlah senarai," pintanya.
"Alah, doalah apa-apa,"
Lalu dia duduk menghadap kiblat dan terus menadah tangan untuk berdoa. Saya terus duduk di belakangnya dan mengaminkan.
"Ya Allah, banyakkanlah rezeki kawan saya ini, Irfan," tiba-tiba dia menoleh ke belakang.
"Kau ada anak?" soalnya.
Saya mengangguk sahaja dan dia menyambung kembali doanya.
"Ya Allah, janganlah Kau jadikan anaknya seperti aku ini. Biarlah anaknya membesar dengan baik agar dapat menolong ibu dan ayahnya. Janganlah Kau jadikan Ir.. Ir... Irfan seperti bapak ti.. ti.. tiri aku yang mencampak aku seperti ini. Selamatkanlah Irfan du.. du.. dunia akhirat. Selamat, se.. se... se... selamat, selamat, selamat,"
Air mata telah menghujani pipi ini selebat air yang mencurah dari langit. Tak dapat menahan air mata ini lalu berlari ke dalam kereta dan menaip tulisan ini terketar-ketar sambil mata berkaca sehingga tidak nampak apa yang ditaip ini.
Ya Allah, sesungguhnya ciptaanMu ini amat indah. Ternyata Kau Maha Cantik dan Maha Sempurna. Lelaki ini biar sebegitu rupa, namun sewaktu sesekali subuh kami di masjid ini, dia jarang tinggalkan saf-Mu.
Selamat, selamat, selamat yang dia ucapkan tadi tanpa putus. Moga Kau selamatkan kami seperti Kau selamatkan dia dengan janji syurga. Aminn.. - Al-Irfan Jani | PIXEL MEDIA
No comments:
Post a Comment