IPOH - Seorang graduan perubatan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas dua pertuduhan merosakkan patung berhala di kuil Sree Muneeswaran Amman Kovil di Jalan Hospital Ipoh dan memiliki senjata berbahaya pada 24 April lalu.
Tertuduh, Fathi Munzir Nadzri, 29, didakwa telah merosakkan patung berhala di dalam kuil tersebut yang merupakan objek suci bagi penganut agama Hindu yang menganggap perbuatan itu sebagai satu penghinaan kepada agama mereka.
Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut pada jam 5 petang, 24 April lalu.
Berikutan itu, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah parang pada waktu dan tempat yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan.
Pertuduhan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Yusaini Amer Abdul Karim di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin, manakala tertuduh diwakili peguambela Mohamad Hafiz Jalaludin dan Mior Fadhli Mior Shaifuddin.
Pihak peguambela kemudian meminta mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan kerana kesalahan yang dilakukan bukan pertuduhan yang tidak boleh dijamin.
Yusaini Amer kemudian meminta mahkamah supaya membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.
Ikmal Hishan membenarkan tertuduh dihantar untuk pemeriksaan kesihatan selama sebulan dan juga memberikan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Mei ini bagi mendapatkan laporan kesihatan mental tertuduh.
Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah diiringi tiga kereta peronda polis pada jam 3.18 petang dan perkarangan mahkamah turut dikawal rapi bagi mengelakkan insiden tidak diingini daripada berlaku. Keluarga tertuduh turut hadir di mahkamah kira-kira empat minit sebelum itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang, 24 April lalu, tertuduh didakwa menyerang dan memusnahkan sembilan patung dewa di kuil berkenaan di sini pada 24 April lalu.
Tertuduh berjaya diberkas polis di Jalan Ghazali Jawi kerana memandu kereta jenis Proton Iriz secara melawan arus sebelum terbabas melanggar hentian bas