Nuffnang

Friday, May 27, 2016

Perghhh..RM15,000 Lesap! Punah Harapan Melancong Ke Jepun





KUALA LUMPUR - Hajat seorang wanita melancong ke Jepun dengan wang simpanan RM15,000 yang dikumpul selama setahun, terpaksa dilupakan selepas mendapati dia dan rakannya telah ditipu oleh ejen pelancongan dari Singapura. 

Shila, 29, mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas ditipu oleh ejen terbabit yang menggunakan alamat palsu di negara jiran itu, lapor Harian Metro.

"Kami menyimpan wang semenjak setahun lalu untuk percutian impian di Jepun. Hajat di hati mahu melihat keindahan negara orang terutamanya Taman Tema Disneyland dan Gunung Fuji. Namun semua impian itu terkubur menyedari ditipu oleh ejen berkenaan. 

"Pembayaran penuh telah dibuat, namun hanya sempat menjejakkan kaki di negara matahari terbit itu selama 19 jam sahaja," luahnya.

Difahamkan, Shila dan rakan-rakannya sepatutnya menikmati percutian selama 10 hari 9 malam di Osaka, tetapi terpaksa pulang selepas pemandu pelancong yang dijanjikan untuk menjemput mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai tidak kunjung tiba. 

"Kami beli tiket penerbangan sendiri tidak termasuk pakej yang ditawarkan, RM4,999 seorang dan tiba di lapangan terbang itu pada jam 10.20 malam, 16 Mei lalu. 

"Selepas menunggu beberapa jam, pemandu pelancong yang dijanjikan tidak muncul. Kami terpaksa keluarkan wang sendiri, RM848 untuk menginap sementara di sebuah hotel dan dalam masa yang sama mengharapkan ada orang yang akan menjemput kami," katanya. 

Malangnya, penantian itu sia-sia. Panggilan dan SMS juga tidak dijawab menyebabkan mereka nekad pulang ke Malaysia. 

"Kami terpaksa bayar RM1,000 denda untuk tiket penerbangan pulang pada 5 petang, 17 Mei," katanya. 

Menurut Shila, dia mula berurusan dengan ejen tersebut menerusi WhatsApp pada 14 Mac lalu dan bertanya mengenai tawaran perkhidmatan syarikat ejen berkenaan. 

"Dia tawarkan harga yang lebih murah, RM4,999 seorang berbanding pakej ejen pelancongan lain yang rata-ratanya RM7,000 - RM8,000. Tertarik dengan pakej murah itu, kami membuat pembayaran separuh harga menerusi akaun bank yang diberikan. 

"Dalam tempoh 2 hari, dia meminta kami menjelaskan separuh lagi bayaran. Selesai membuat pembayaran RM9,998, ejen itu sekali lagi meminta bayaran insurans RM3,670 sebagai jaminan keselamatan kerana Jepun baru dilanda gempa bumi," katanya. 

Mangsa juga turut diyakinkan oleh ejen tersebut mengenai pakej yang dipersetujui apabila menerima jadual perjalanan yang cukup lengkap menerusi emel pada 15 Mac dan tawaran pemberian beg bagasi percuma setiap seorang. 

"Kali terakhir saya berhubung dengan dia ialah pada 19 Mei. Ejen itu memaklumkan bahawa semuanya telah selesai dan kami akan dijemput oleh seseorang di Jepun kelak. 

"Namun kami mula sangsi apabila pesanan yang dihantar tiga hari sebelum berlepas ke Jepun tidak dijawab. Namun kami tetap meneruskan perjalanan dengan harapan percutian impian itu menjadi kenyataan," katanya. 

Kecewa ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu, Shila dan Idah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna.

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung