SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menyatakan kekesalan berhubung tindakan seorang wanita Islam yang menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaannya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, tindakan itu telah menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan pegangan mazhab dan ‘uruf'/adat di Malaysia

"Menurut Mazhab Syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam," tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu tersebar di media sosial tentang pengkisahan berkaitan anjing peliharaan wanita itu yang bernama Bubu.
Tegasnya, walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai ‘mughallazah’ namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja.
"Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya," katanya.
Justeru, ujarnya Jakim berharap individu tersebut perlu segera memberhentikan perbuatan tersebut dan kembali bertaubat kepada ALLAH.
Katanya lagi, perbuatan sebegini dilihat seolah-olah beliau cuba mencipta budaya baharu yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam.
Jelasnya, pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada binatang anjing sebagai salah satu makhluk ALLAH.
"Apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.
"Walau bagaimanapun, dalam Mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan," katanya.
Malahan, tegasnya Islam mewajibkan semua umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian.
"Bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini secara berhikmah demi kebaikan bersama, individu tersebut dinasihatkan agar dapat merujuk kepada pihak Jakim berkaitan hukum memelihara anjing," katanya.