Nuffnang

Sunday, January 24, 2021

Jiwa kental! Wanita ini tetap jadi rider walau dihalang mak ayah, lama-lama keluarga tunjuk reaksi tak disangka-sangka

 


Wana mula berkhidmat sebagai rider penghantar makanan pada November tahun lalu.

JIKA disoroti, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada Mac tahun lalu, ramai rakyat di negara ini secara tiba-tiba mengubah haluan kerjaya masing-masing.

Ini berikutan banyak syarikat yang terpaksa menghentikan operasi, tak kurang juga yang membuang pekerja gara-gara pandemik yang melanda.

Begitu juga kisah Nor Syazwana Fatwa, 24, yang mula berjinak-jinak sebagai rider penghantar makanan sejak tahun lalu selepas syarikat tempat dia bekerja terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu.


Bercerita kepada mStar, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu mengakui pada awalnya tetap berkeras mendaftarkan diri sebagai rider biarpun mendapat tentangan keluarga.

"Saya mula jadi rider sejak November tahun lepas. Sebelum ini saya bekerja di sebuah syarikat agensi pelancongan.

"Bila dah lama PKP, jadi saya cuba mohon untuk jadi rider. Nampak macam menyeronokkan, saya pun teringin nak cuba.

Wana bersyukur pekerjaan sebagai rider mampu membuka pintu rezeki buat dirinya dan keluarga.

"Sebab saya pun memang dah terbiasa naik motor. Mula-mula keluarga tak bagi, tapi saya pergi daftar je.

"Tiap-tiap minggu saya bantu beli barang rumah, lama-lama keluarga pun OK. Cuma mereka minta saya hati-hati," ujarnya yang mesra disapa Wana.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia juga bersyukur apabila pekerjaan baharu itu membuka peluang rezeki buatnya.

Semua rider lelaki pun baik, mereka bagi sokongan kepada saya.

WANA

Malah katanya, dia gembira apabila ramai rider lain turut memberi sokongan dan kata-kata semangat kepadanya sejak awal dia menyertai bidang itu.

"Banyaklah berubah sejak jadi rider. Kalau dulu masa dapat gaji tetap, rasa macam tak cukup. Bila jadi rider, adalah duit poket lebih, boleh bantu keluarga.

"Makin rajin kita buat kerja penghantaran, makin banyak yang kita dapat. Ramai juga terkejut setiap kali saya pergi hantar makanan. Tapi Alhamdulillah tiada gangguan teruk. Cuma kalau orang hon dan jerit kat tengah jalan tu, adalah kadang-kadang.

"Pernah juga hantar makanan kat rumah kawan, mereka tanya... ni Wana ke? Tak berapa cam sebab pakai mask.

"Seronok dapat tengok gelagat orang. Setakat ni saya tak pernah alami kemalangan jalan raya. Cuma pernah jatuh sekali, silap sendiri terlanggar divider bulan lepas.

Wana gembira menerima sokongan komuniti rider di Temerloh.

"Semua rider lelaki pun baik, mereka bagi sokongan kepada saya," ujarnya yang sering menghantar makanan di sekitar kawasan Temerloh.

Dalam pada itu, Wana juga terbuka berkongsi mengenai kisahnya sebagai rider wanita di media sosial termasuklah menerusi video di aplikasi TikTok.

Ujarnya, dia mahu menyampaikan mesej bahawa wanita juga boleh bekerja sebagai rider yang mana majoritinya disertai kaum adam.

"Kalau ada wanita di luar sana teringin nak jadi rider, teruskan je. Kalau dah ada niat, teruskan niat itu.

"Tak perlu takut. Kebanyakan rider lain juga akan sama tolong-menolong. Mereka tak pinggirkan kita," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung