Nuffnang

Sunday, February 28, 2021

Sayu... Adik bertafakur di sisi jenazah bapa sebelum jawab SPM, sempat bergegas pulang untuk solat jenazah -

 

Sayu... Adik bertafakur di sisi jenazah bapa sebelum jawab SPM, sempat bergegas pulang untuk solat jenazah - “Saat lihat saya solat, arwah menangis kesyukuran”

Adik Aminur, Ammar Rahimi sedang bertafakur menatap wajah arwah bapa mereka ketika sebelum solat jenazah.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Itulah pepatah paling sesuai bagi menggambarkan situasi yang dilalui oleh pelajar ini yang diuji dengan pemergian bapa kesayangan ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Gambarnya yang dikongsikan di Twitter yang memperlihatkan dirinya sedang menatap wajah arwah bapa kesayangan yang sudah siap dikafankan, begitu meruntun hati netizen.


"My adik currently on his SPM dan tadi dia habis je paper Sejarah terus datang surau dan sempat tengok arwah dan solat jenazah. My heart when i saw he hold his tears so bad, Ya Allah he's strong," demikian kapsyen pada perkongsian tersebut yang sehingga kini meraih lebih 24,000 retweet.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda bernama Aminur yang membuat perkongsian berkenaan berkata adiknya, Ammar Rahimi, 18, sememangnya sangat akrab dengan arwah bapa mereka.

"Sewaktu ayah menghembuskan nafas terakhir pada 23 Februari (Selasa) lalu ketika sedang solat Maghrib. Pemergiannya sangat mengejutkan kami sekeluarga kerana ayah tak sakit apa-apa.



Gambar yang dikongsikan di Twitter begitu meruntun jiwa netizen.

"Malah sebelah petang hari sama sebelum meninggal, saya temankan arwah ke klinik haiwan bawa kucing... kami makan sama-sama. Selepas itu saya selesaikan urusan berkaitan latihan industri (internship) sebelum dapat panggilan dari ibu pukul 8 malam.

"Ibu beritahu ayah pengsan... saya sangka pengsan biasa tapi bergegas pulang rumah. Ambulans pun sampai kemudian mereka sahkan ayah sudah tiada.

"Saya sendiri speechless beberapa ketika, adik pula tahan tangis sedangkan dalam hatinya Tuhan saja yang tahu. Dialah yang nampak paling terkesan sekali... sebab kehilangan orang yang rapat dengannya terutama ketika sedang hadapi peperiksaan," cerita pemuda berusia 20 tahun ini.

Ujar anak sulung daripada dua beradik ini, perasaannya lebih terusik apabila menyaksikan adiknya bertafakur di sisi arwah bapa mereka pada keesokan harinya, sebelum berangkat ke sekolah untuk menjawab peperiksaan.



Gambar kenangan Aminur (belakang, kanan) bersama arwah bapanya (kiri, duduk) dan keluarga ketika Aidilfitri lalu.

"Sebenarnya pada malam ayah meninggal, kami semua tak tidur... adik bersihkan arwah dan dia menangis. Sampai pukul 1 pagi, dia ambil kesempatan untuk ulangkaji sebentar sehingga 4 pagi.

"Esoknya sebelum ke sekolah, dia duduk dekat arwah... lagi sekali dia menangis. Dekat 10 minit dia tatap wajah arwah. Yang lain pun ikut sama menangis.

"Urusan pengebumian dilakukan selepas Zohor. Adik terus ke surau selepas habis periksa... sedih dia tak dapat uruskan arwah dari saat mandi dan sebagainya. Dia sampai masa tu arwah dah siap dikafankan dan mahu disolatkan," katanya.

Lima hari selepas pemergian bapa mereka, Aminur berkata mereka sekeluarga masih terkesan dan bersedih, namun mulai reda dan kuatkan semangat antara satu sama lain.


Bercerita mengenai bapanya, Aminur berkata Allahyarham merupakan seorang yang tegas namun perwatakannya berubah menjadi lebih lembut sejak beberapa bulan lalu.

"Saya lebih rapat dengan ibu, adik yang lebih rapat dengan ayah. Saya sebenarnya agak jahil sebelum ini... malah saya juga ada masalah depresi yang teruk. Tahun lalu arwah ajak dan bawa saya jumpa pakar psikiatri.

"Alhamdulillah, bertitik tolak daripada situ saya perlahan-lahan mula dirikan solat. Saya tak beritahu ayah, tapi saat arwah lihat saya solat sewaktu masuk bilik, arwah menangis penuh kesyukuran.

"Arwah belikan saya tafsir Al-Quran sebagaimana yang saya mahu. Saya bersyukur arwah sempat lihat saya berubah dan insyaAllah saya cuba istiqamah," katanya yang juga pelajar jurusan Diploma Fotografi dan Videografi dari sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).


Tidak menyangka perkongsiannya tular, Aminur dalam masa yang sama terharu dan berterima kasih dengan doa dan kata-kata semangat yang dititipkan oleh netizen.

"Cuma ada segelintir dua kecam sebab saya ada masukkan thread iklan bisnes saya di bawah perkongsian itu. Mereka kata saya kurang ajar, namun bisnes itu juga sebenarnya untuk saya bantu keluarga lebih-lebih lagi selepas arwah ayah tiada.

"Tapi tak apalah, saya enggan keruhkan keadaan dan ambil keputusan untuk padamkan thread iklan tersebut. Dalam keadaan sekarang, saya tak mahu perkara itu buat saya makin tertekan," ujarnya lagi.



T kasih mstar

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung