Lelaki didakwa kahwini kambing buat permohonan maaf
JAKARTA – Seorang lelaki di Gresik, Jawa Timur menjadi tular di media sosial kerana didakwa berkahwin dengan seekor kambing, lapor laman berita Detik semalam.
Berdasarkan video ‘perkahwinan’ yang dimuat naik di saluran YouTube, sekumpulan penduduk berpakaian mengikut adat Jawa hadir pada upacara perkahwinan antara Saiful Arif, 44, dengan seekor kambing betina.
Kambing itu turut diberi nama Sri Rahayu bin Bejo.
Saiful Arif kemudian didengari mengucapkan ‘akad nikah’ yang turut menyebut jumlah mas kahwin sebanyak 22,000 rupiah (RM6.69).
Acara itu disaksikan oleh penduduk kampung, penghulu serta beberapa pemimpin setempat.
Video itu menjadi tular sehingga akhirnya membuatkan Saiful Arif tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menurut laman berita Tribunnews, lelaki itu mengakui video tersebut hanya lakonan semata-mata dan dihasilkan untuk kandungan media sosial dan bertujuan ditularkan.
Tambah penghasil kandungan YouTube dan TikTok itu, dia tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dan hanya bertujuan untuk hiburan semata-mata.
Dia juga menghasilkan video itu untuk meningkatkan bilangan ‘like’ dan paparan halaman yang tinggi. – Agensi