Seorang lelaki yang dilihat menunggang motosikal dalam keadaan berbogel ditahan atas dakwaan membunuh seorang wanita berusia 26 tahun dan bayi tiga bulan di Johor Bahru hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata suspek berusia 24 tahun itu ditahan di Permas Jaya, kira-kira dua jam selepas laporan pembunuhan di sebuah rumah di Bakar Batu, Johor Bahru.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Daerah bersama Ketua Polis Balai Permas Jaya berjaya mengesan suspek dan menahannya di Permas Jaya sekitar jam 2.45 petang.
“Suspek yang berbogel ketika ditahan adalah penunggang motosikal yang tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Raub berkata, sebilah pisau pemotong daging turut dirampas daripada suspek bersama motosikal yang dilihat dalam video itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Harian Metro melaporkan, Rosman Ahmad, 58, berkata dia menerima panggilan telefon daripada anak sulungnya yang memaklumkan terdapat masalah di rumah anak ketiganya yang berusia 26 tahun sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila saya sampai, anak pertama dan kedua sudah ada di sini (rumah keluarga anak ketiga), saya lihat anak perempuan saya terbaring depan pintu rumah dengan luka di leher macam dikelar.
“Cucu lelaki saya, juga terdapat luka di leher, ketika itu ada jururawat sedang mengendongnya. Tetapi, saya difahamkan cucu saya ditemui di sisi ibunya,” katanya
Wanita itu dan anak tunggalnya, Hans Mohd Thakif Amir berusia kira-kira dua bulan, ditemukan sudah meninggal dunia, dipercayai dikelar suaminya berumur 25 tahun.
Lelaki itu pula dilaporkan melarikan diri sejurus kejadian itu dengan menaiki motosikal dalam keadaan berbogel.
No comments:
Post a Comment