Pihak pendakwaan hari ini menegur Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak menjadikan mahkamah seperti ‘kedai kopi’ atau mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semasa menjawab soalan dalam perbicaraan kes yang dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran membuat teguran itu apabila Ahmad Zahid berkali-kali tidak menjawab soalan secara spesifik dan mahu memberi penjelasan, sedangkan pendakwaan tidak meminta berbuat demikian.
Soalan yang diajukan Raja Rozela adalah adakah bekas timbalan perdana menteri itu bersetuju bahawa bekas Setiausaha Eksekutifnya Mej Mazlina Mazlan @ Ramly tidak boleh sentuh wang dalam akaun simpanan tetap di Tetuan Lewis & Co.
Selepas beberapa kali Raja Rozela bertanyakan soalan itu dan menegur supaya menjawabnya secara spesifik, Ahmad Zahid akhirnya menjawab “Setuju”.
Raja Rozela kemudian mengucapkan “Terima kasih, terima kasih Datuk Seri, terima kasih banyak, manakala Ahmad Zahid menjawab "Terima kasih kepada anda juga”.
Berasa sinis dengan jawapan Ahmad Zahid itu, Raja Rozela kemudian berkata “Hati-hati Datuk Seri. Datuk Seri dekat dalam mahkamah ya, bukan dekat kedai kopi, bukan dekat majlis tertinggi, saya ingatkan anda sebagai pegawai mahkamah”.
Sebelum itu, Raja Rozela turut menegur Ahmad Zahid apabila beliau mengelak untuk menjawab soalan secara spesifik berkenaan dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dipindahkan ke akaun simpanan tetap Lewis & Co.
“Datuk Seri kena belajar untuk hormat mahkamah Datuk Seri ya. Bila saya tanya soalan dan soalan itu adalah spesifik, Datuk Seri tolong lah jawab soalan itu secara spesifik melainkan saya suruh Datuk Seri memberikan penjelasan.
“Saya adalah pegawai mahkamah Datuk Seri. Saya dan rakan bijaksana saya, peguam-peguam Datuk Seri adalah pegawai mahkamah. Kami menjalankan tugas untuk menjalankan prosiding ini untuk mahkamah ini Datuk Seri.
‘Saya minta sangat-sangat Datuk Seri tolong lah fokus, kalau tidak sampai malam kita di sini (mahkamah),” tegas Raja Rozela.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid bangun dan menyatakan anak guamnya perlu diberikan peluang untuk memberikan penjelasan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian berkata pendakwaan memberikan pandangan sedemikian kerana Ahmad Zahid tidak menjawab soalan secara spesifik, sebaliknya memberikan penjelasan.
Hanya jawab setuju atau tidak
“Kadangkala saksi diberikan peluang untuk memberikan penjelasan, tetapi apabila ditanya sama ada saksi setuju atau tidak, saksi hanya perlu menjawab sama ada setuju atau tidak.
“Oleh sebab itu pendakwaan berpandangan begitu,” kata Hakim Sequerah.
Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik YAB selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung.
- Bernama
No comments:
Post a Comment