Kehadiran Kenderaan Pelindung Serang Hendap Kebal Periuk Api (MRAP) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, menimbulkan kehairanan ramai, tatkala Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengadakan mesyuarat tergempar malam ini.

MRAP itu dikatakan tiba serentak dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke mesyuarat berkenaan sebelum dipakir di kawasan meletak kenderaan di dalam bangunan WTC.

Walaupun, secara umumnya Perdana Menteri sentiasa dilindungi pasukan keselamatan, namun jarang kelihatan MRAP turut menyertai konvoi beliau ketika hadir di mana-mana mesyuarat UMNO.

Ismail Sabri sebelum ini tidak hadir pada Taklimat Khas Presiden di WTC petang tadi kerana mempunyai program lain yang dirancang lebih awal di kawasan Parlimennya di Bera, Pahang.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ciapan Twitternya berkata, mesyuarat MT yang bermula jam 8.30 malam ini dipengerusikan Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika berucap pada taklimat itu, Zahid berkata desakan supaya Parlimen dibubarkan segera akan dibincangkan dalam mesyuarat MT malam ini.

“Malam ini ada mesyuarat MT. Kami semua akan mesyuarat MT. Kami akan bawa mandat hari ini dalam mesyuarat MT.

“Rakan-rakan MT, lihat sendiri dukungan ahli UMNO dari seluruh negara ini,” kata Zahid lagi. Agendadaily