Baharu sehari Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan DAP kini sudah menerima UMNO selepas berada bersama-sama dalam kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), Timbalan Perdana Menteri itu dikritik dan dikecam kerana membuat pelantikan di luar bidang kuasa dan portfolionya.

Hari ini (25 Disember 2022), seorang pemimpin kanan DAP mengecam tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana melantik seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ramesh Rao sebagai pegawai khasnya bagi menjaga hal ehwal masyarakat India di Malaysia baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, walaupun tidak menyebut nama Ramesh, berpendapat Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia itu tidak layak memegang jawatan berkenaan.

Dalam kenyataan di Facebooknya petang tadi beliau berkata Zahid tidak boleh sewenang-wenangnya melantik seorang pemimpin NGO bagi menjaga hal ehwal kaum India, malah menyifatkan pelantikan itu satu penghinaan kepada kaum berkenaan.

“Bukan, seorang pemimpin NGO yang dilihat lebih mementingkan pemimpin UMNO sejak dari dahulu hingga sekarang,” kata Ramasamy sambil menegaskan hal ehwal kaum India bukannya terletak di bawah portfolio Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang mengingatkan mengenai penderitaan masyarakat India di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Beliau turut mempersoalkan apakah dengan pelantikan itu Zahid beranggapan dia akan berbeza kali ini dalam menangani masalah dihadapi masyarakat India.

“Saya tidak pasti sama ada pelantikan sebegitu adalah sesuatu yang pujian atau penghinaan terhadap kaum India di negara ini.

“Apabila BN secara keseluruhannya tidak dapat menyelesaikan masalah utama masyarakat India, bagaimana mungkin perlantikan seorang NGO yang kontroversi akan mengubah nasib masyarakat yang banyak berkorban untuk pembangunan negara.

“Zahid sendiri ketika pelantikannya berkata beliau akan menyalahkan pemimpin NGO itu jika gagal menangani isu kaum India. Jadi jelas sekali bahawa Zahid sedar sepenuhnya tentang kapasiti orang ini tentang apa yang dia boleh lakukan dan tidak.

“Ia hanya menunggu masa sebelum dia mengumumkan bahawa orang ini telah gagal untuk berkhidmat kepada masyarakat India dan oleh itu dia memecatnya,” katanya lagi.

Ramasamy melihat bahawa Zahid dapat membebaskan dirinya daripada kesalahan sekiranya pemimpin NGO terbabit gagal menangani isu masyarakat India pada masa depan.

Beliau turut mempersoalkan kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri membenarkan Zahid membuat pengumuman dan keputusan tidak masuk akal itu.

“Nasihat saya kepada Zahid supaya beliau menumpukan perhatiannya kepada peranannya sebagai timbalan perdana menteri dan portfolio yang beliau pegang.

“Dia tidak seharusnya sesat dengan membuat pelantikan ad hoc yang bukan dalam bidang kuasanya. Saya ulangi bahawa pelantikan pemimpin NGO itu mungkin lebih mendatangkan mudarat daripada kebaikan kepada masyarakat India,” katanya.

Laporan media menyebut, Ramesh mula mendapat perhatian ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak apabila NGO yang diasaskannya kerap membuat laporan polis terhadap pihak yang mengkritik kerajaan.

Dia juga pernah menganjurkan sidang media untuk balu penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, A Santamil Selvi bagi memohon maaf kepada Najib dan isterinya Rosmah Mansor.Agendadaily