Pihak yang membuat dakwaan supaya mencari bukti dan berkongsi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dana negara berjumlah RM600 bilion.

Sekiranya mempunyai maklumat dan bukti, SPRM meminta pihak yang membuat tuduhan berhubung dana negara itu diseleweng untuk segera tampil membawa bukti atau dokumen sahih untuk membantu siasatan dijalankan.

“Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat tersebut.

“Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen tersebut,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Isu dana RM600 bilion dibangkitkan oleh Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tidak didedahkan bukti berhubung dakwaan yang dibuatnya itu.

Susulan itu, mantan PM ke-lapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan jumlah sebenar yang dibelanjakan bukanlah RM600 bilion sebaliknya RM530 bilion merangkumi lapan pakej rangsangan ekonomi dan sebahagian besarnya berbentuk non-fiskal iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

“Kita belanja untuk bantu rakyat susah dan semuanya mengikut peraturan. Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk sebelah pembangkang dan beberapa rang undang-undang dibentangkan di Parlimen untuk mendapat kelulusan termasuk rang undang-undang Covid-19 dan tambahan peruntukan,” katanya sebelum ini.

Muhyiddin juga meminta Anwar supaya memanggil mantan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz yang baharu dilantiknya juga dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN)supaya memberi penjelasan berhubung isu dana yang dibangkitkan tersebut.

“Semuanya ‘halalan toyyiban’ dan diluluskan kerajaan. Yang menguruskan hal ini adalah bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz yang kini sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Maka Anwar boleh panggil Tengku Zafrul ke pejabat dan tanya betulkah RM600 bilion ini Muhyiddin ‘tapau’ semua? Kalau ‘tapau’, saya boleh hadap di mahkamah bila-bila masa,” katanya lagi.