Maghribi melakar sejarah selepas kali pertama melayakan diri ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022.

Skuad kendalian Walid Redragui itu muncul pasukan pertama dari benua Afrika berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia selepasa berjaya membenam Portugal 1-0 pada aksi suku akhir.

Tandukan Youssef En-Nesyri di minit akhir babak pertama membawa skuad kendalian Redragui yang dibelenggu kecederaan ke pusingan empat terakhir, bertemu pemenang antara Perancis atau England.

“Kami menentang pasukan Portugal yang hebat. Kami mengeluarkan apa yang ada, kami masih ada pemain yang cedera.

“Saya beritahu pemain-pemain sebelum perlawanan yang kita perlu merakam sejarah untuk Afrika. Saya amat gembira,” kata Redragui.

Regragui, bekas pemain Maghribi kelahiran Perancis, sudah melakar sejarah sebagai jurulatih Afrika pertama membawa pasukan ke suku akhir.

Maghribi kini sudah menewaskan tiga pasukan terkuat Eropah di Qatar – 

menewaskan Belgium di peringkat kumpulan dan Sepanyol menerusi sepakan penalti di pusingan 16 terakhir – selepas seri 0-0 dengan naib juara 2008, Croatia pada perlawanan pembukaan.

Pemain sayap, Sofiane Boufal berharap mereka mampu melangkah lebih jauh.

“Ia gila. Kami sedang bermimpi dan tidak mahu terjaga. Bulu roma saya meremang.

“Apa yang kami capai, memang hak kami. Kami bekerja keras. Ia belum berakhir. Masih ada separuh akhir dan dengan Insya-Allah, final,” kata Sofiane.