‘Persepsi’ oleh Rafizi Ramli apabila mengaitkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) daripada PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan projek RM2 bilion kementerian itu, kini bertukar kepada ‘hanya mahu menjemput menteri memberi penjelasan’

Timbalan Presiden PKR itu berkata dia hanya mahu Tuan Ibrahim memberi penjelasan berhubung projek bernilai RM2 bilion yang didakwanya cuba diluluskan selepas Parlimen dibubarkan Oktober tahun lalu.

Menteri Ekonomi kerajaan PH-BN itu menjelaskan perkara itu dalam kenyataan pembelaan terhadap saman fitnah dikemukakan Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), seperti dilaporkan Mkini hari ini (25 Januari 2023).

Rafizi dilapor memfailkan pembelaannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Disember tahun lalu.

Saman fitnah itu difailkan Tuan Ibrahim pada November 2022 berikutan dakwaan dibuat Rafizi bahawa kerajaan sementara – melalui KASA – menganugerahkan kontrak bernilai berbilion ringgit kepada syarikat kroni.

Menurut Mkini yang melihat dokumen pembelaan itu, Rafizi menafikan kenyataannya – yang dibuat semasa dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor pada 7 dan 9 November tahun lepas ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 – adalah fitnah atau dilakukan dengan niat jahat.

Rafizi memberi alasan dia membangkitkan isu itu untuk tujuan perhatian umum serta wacana awam yang sihat.

Ahli Parlimen Pandan yang gemar bermain dengan ‘politik persepsi’ itu mendakwa niat sebenarnya membuat kenyataan media itu adalah untuk menjemput atau menggalakkan Tuan Ibrahim memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.

Rafizi mendakwa dia memperoleh maklumat berhubung komunikasi dan proses dalam pemberian projek tertentu di bawah KASA, dan Tuan Ibrahim sebagai menterinya ketika itu perlu menjawab untuk memberikan penjelasan.

“Usaha defendan tidak mempunyai niat jahat. Ia selaras dengan hak defendan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan sebagai ahli politik, warganegara dan pembayar cukai, dan ia juga dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan,” kata Rafizi lagi.

Memetik MalaysiaGazette, pada 7 November lalu, Rafizi pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya berkata:

“Saya ingin mendedahkan bahawa dimaklumkan oleh pemberi maklumat dalaman bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk menganugerahkan satu projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat yang sama iaitu Mangkubumi Sdn Bhd. (Mangkubumi).

“Projek bernilai RM2 bilion ini adalah untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2.”

Sementara itu, Mkini juga melaporkan sebagai menjawab pembelaan itu, Tuan Ibrahim antara lain menegaskan Rafizi membuat dakwaan palsu atas kapasitinya sebagai ahli politik dan calon Pandan semasa tempoh berkempen PRU-15.

Melalui dokumen yang difailkan ahli Parlimen Kubang Kerian pada 19 Januari lalu, dia mendakwa hujah itu dikuatkan lagi oleh Rafizi yang didakwa mengakui tidak berniat untuk membuat laporan polis kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebaliknya menunggu sehingga partinya memenangi PRU dan membentuk kerajaan.

“Atas sebab itu, adalah karut untuk defendan menyatakan bahawa defendan membuat sedemikian sebagai seorang rakyat yang prihatin apabila fakta-fakta dengan jelas menunjukkan bahawa ia dibuat berdasarkan kecenderungan politik dan manfaat dalam bentuk political milage yang boleh diperolehi defendan,” katanya.

Peguam dari firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid bertindak bagi pihak Tuan Ibrahim manakala Rafizi diwakili peguam dari firma Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co.

Tindakan sivil berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Ketika dihubungi media selepas itu, peguam plaintif Yusfarizal Yussoff berkata mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan dokumen lanjut.

Dia juga memberitahu mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya ialah pada 31 Mac ini.