Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerima nasib sama dengan Tan Sri Noh Omar apabila dipecat UMNO, sementara bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula digantung keahlian selama enam tahun.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuktikan keberaniannya ‘ready to fight’ dengan mengambil tindakan drastik memecat dan menggantung kumpulan penentang dalam parti semasa mesyuarat Majlis Tertinggi malam ini.

Mesyuarat MT UMNO malam ini dipengerusikan Zahid sendiri dan sudah memberi bayangan sejak semalam bakal berlaku pembersihan besar-besaran dalam partinya.

Ahli MT, Datuk Puad Zarkashi mengesahkan pemecatan Khairy malam ini, sementara Noh juga mengesahkan sendiri dirinya dipecat semasa ditemui media di bangunan UMNO awal tadi.

Turut dikenakan tindakan malam ini, penyandang Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan Suffian yang juga digantung keahlian bersama-sama seorang lagi Ahli MT, Fathul Bari Mat Jahya; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, Datuk Seri Hasni Mohammad juga digugurkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dan digantikan dengan Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin.

Hasni menerajui UMNO Johor sejak 2018 dan pada 28 Februari 2020, beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal.