Bimbang dengan populariti Khairy Jamaluddin yang boleh menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, mencadangkan bekas Ketua Pemuda UMNO itu bertanding di Kelantan.

Ketika mengulas desas-desus bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau itu mungkin bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Aminuddin berkata beliau meraikan demokrasi.

Namun, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mencadangkan Khairy supaya bertanding di Kelantan kerana peluangnya untuk menduduki kerusi menteri besar, lebih cerah, berbanding di Selangor atau Negeri Sembilan.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang yakin dengan kebolehan dan populariti Khairy akan membolehkan Perikatan Nasional (PN) menguasai Selangor serta Negeri Sembilan.

Wan Ahmad Fayhsal berkata Khairy juga boleh diangkat sebagai menteri besar, sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan jika menyertai Bersatu dan membantu PN merampas dua negeri itu pada PRN akan datang.

Mengulas lanjut Aminuddin berkata beliau mendapat tahu bahawa PN membuat tawaran supaya Khairy bertanding di Selangor pada PRN akan datang dan beliau seronok untuk bertanding di negeri itu.

“Dia (KJ) tak cakap hendak bertanding di Negeri Sembilan, walaupun banyak cakap-cakap dia akan bertanding di Negeri Sembilan tapi dia sendiri tak beri maklum balas.

“Terpulang lah pada dia. Ini negeri demokrasi, kita raikan..semua akan cakap dia boleh menang (PRN), itu politik yang saya selalu cakap, kalau tanya saya pun, saya kata boleh menang,” katanya menurut Harian Metro.

Selepas dipecat UMNO akhir bulan lalu, Khairy dilaporkan berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding pada PRN Selangor, tetapi bergantung kepada tawaran kepadanya, termasuk jawatan menteri besar.

Malah, bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengakui bahawa pengalaman di peringkat negeri akan menambahkan lagi ilmunya apatah lagi sebelum ini bergelar bekas Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal dan mengetuai tiga kementerian berbeza.AD